PENTINGNYA KHUTBAH JUMAAT

Khutbah Jumaat merupakan satu medium dakwah terpenting pada masa kini. Ini kerana dalam khutbah Jumaat mempunyai unsur-unsur nasihat, peringatan, pengetahuan, pengkajian tentang satu-satu isu atau permasalahan. Sekiranya khutbah Jumaat ini ditulis dan dirangka dengan baik, maka untuk melahirkan umat yang terunggul dan bertamadun berpotensi disamping dengan ibadah-ibadah dan amalan-amalan yang lain. Akan tetapi, kebanyakkan khutbah Jumaat ditulis dan dirangka dengan baik, tetapi ada juga khutbah Jumaat tidak mengandungi isi yang dapat dimanfaatkan oleh makmum atau jemaah. Hal ini kerana ada sesetengah khutbah Jumaat isi kandungannya terlalu mendatar dan ceritanya yang sudah lapok.

Maka demikian juga halnya dengan sebahagian khatib, terutama khatib-khatib di kampung-kampung tidak dapat membaca ayat-ayat al-Quran atau hadis dengan baik. Ini berlaku kerana ada sesetengah dari mereka bukan terpelajar dari sekolah-sekolah arab, sudahlah begitu kertas khutbah Jumaat dibuka ketika sedang duduk azan yang kedua. Fenomena ini berlaku mungkin kerana kecuaian khatib itu sendiri, terlalau sibuk ataupun kerana bahan khutbah Jumaat tersebut lambat sampai ke tangan khatib. Ada juga sesetengah khatib berusaha untuk membaca kalimah-kalimah yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran beberapa kali, dan apabila gagal, dia melompat kepada kalimah-kalimah berikutnya.

Kadang-kadang didapati perkataan yang sukar digunakan dalam khutbah Jumaat, kalimah-kalimah canggih kacukan bahasa Inggeris, menyebabkan khatib mengulanginya beberapa kali dalam usaha menyampaikan mesej yang ingin diterapkan. Jelas sangat kalimah-kalimah seperti itu tidak pernah digunakan oleh khatib itu.

Penulis-penulis khutbah Jumaat pula tidak perlu meletakkan ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang terlalu panjang. Ini kerana akan membebankan khatib yang membaca. Dalam masa yang sama perlu disedari kebanyakkan makmum atau jemaah tidak memahami bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Dalam khutbah Jumaat yang memakan masa lebih kurang 20 minit, ada khutbah Jumaat yang mengandungi empat atau lima tajuk di dalamnya, yang menceritakan penderitaan umat Islam di Afghanistan dan Iraq, kepentingan menuntut ilmu seperti yang diajar oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian melompat kepada hadis faedah berbaik-baik dengan jiran, pahala bagi orang yang sabar dan sebagainya. Orang Islam sepatutnya memanfaatkan masa yang diberi untuk mendengar khutbah Jumaat itu sebaik mungkin. Inilah masa yang paling mudah dan sesuai sekali dalam seminggu yang tersedia ada untuk menyalurkan maklumat kepada umat Islam. Inilah hujah utama kenapa khutbah Jumaat itu diperlukan dan bukan semata-mata menjadi salah satu syarat sembahyang Jumaat tersebut.

Hukum mendengar isi khutbah Jumaat itu wajib sebagai syarat sah Jumaat. Hadis Nabi s.a.w “Hendaklah didengar khutbah Jumaat itu oleh 40 orang hadir, biarpun mereka tidak faham apa yang dicakap atau dituturkan oleh khatib, kecuali mereka tidak mendengar kerana pekak.”

Biarpun kefahaman kandungan khutbah Jumaat yang dibaca itu tidak perlu, namun usaha mengaplikasikannya oleh para makmum atau jemaah, penghayatan khutbah itu tetap perlu. Tanpa penghayatannya, maka pengaplikasiannya itu tidak dapat dilaksanakannya.

0 comments:

About