KE ARAH KECEMERLANGAN KEPIMPINAN MAHASISWA ISLAM

Kecemerlangan (excellence) merupakan suatu aras pencapaian khidmat, kualiti pengeluaran dan sebagainya yang mencecah piawaian tertentu, samada kepuasan pelanggan, pengikut, orang ramai, rakan sekerja, mahupun majikan. Kecemerlangan selalunya dihubungkaitkan dengan nilai-nilai atau traits keperibadian tertentu, atau malah mutu perlaksanaan kerja tertentu yang terbaik dan memuaskan Allah atau manusia pada masa yang tertentu. Pendekata ia merangkumi sejumlah ciri-ciri keunggulan yang mampu dimiliki oleh seseorang, kumpulan atau organisasi. Semua orang ingin memiliki sesuatu yang dapat dibanggakan. Mereka ingin menjadi unggul dalam serba-serbi. Manusia memang makhluk yang ingin mencapai self-actualisation membuktikan kewujudan diri). Ia mahu mendapatkan satu macam kepuasan batin dan penerimaan masyarakat terhadap dirinya.

Di antara yang dicita-citakan oleh manusia ialah suatu keperibadian yang terbaik, terpuji, sempurna dan cemerlang bagi dirinya sendiri. Mereka merasakan keperibadian yang baik dapat membekalkan diri mereka dengan persyaratan-persyaratan kejayaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Peribadi menentukan nilai diri. Ia lebih penting daripada keturunan, pangkat, dan harta benda. Manusia disanjung lantaran peribadinya yang mulia dan cemerlang bukannya kerana pangkat atau keturunannya semata-mata.

Kecemerlangan, jika dihubungkaitkan dengan kepirnpinan mahasiswa, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai atau standard yang terbaik dan memuaskan para pengikut atau malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan.

Ada beberapa faktor yang menentukan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa. Fakto-faktor tersebut antara lain ialah:

1. Dasar perjuangan yang diredhai Allah

Dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan irnan, Islarn dan ihsan. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'.

Allah berfirman
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah lwn mengkhianati ALlah, Rasul dan apa yang telah diamanahkan kepada kamu; padahal kamu mengetahuinya"
(Surah al-Anfal: ayat 27)

2. Strategi operasi serta gerak kerja yang berkesan.


Perlaksanaan gerak kerja berharakah memerlukan strategi bertindak yang rapi dan teratur Tanpa strategi yang sesuai dengan fiqh al-Muwazanat serta fiqh al-Awlawiyat maka organisasi mahasiswa sukar meraih kecemerlangan seperti yang diidamkan.

Fiqh al-Muwazanat bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih penting diutamakan antara sekian banyak (Masaleh) maslahah (kepentingan), dari sudut kadarnya, pengaruhnya, skop liputannya serta jangka hayatnya

Ia juga bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih buruk padahnya dari sekian banyak keburukan yang ada, mana yang paling mustahak dihindari terlebih dahulu dan mana pula yang boleh dibiarkan seketika. Ia juga bermakna keupayaan membuat tarjihat antara maslahah dan mafsadah apabila kedua-duanya tampil serentak dalam sesuatu isu atau persoalan. Sehinggalah dapat dibuat kesimpulan yang tepat samada diutamakan menghindari mafsadah dari meraih maslahah atau sebaliknya diutamakan meraih maslahah dengan menanggong sedikit kesan dari mafsadah yang berkaitan.

Fiqh al-Aulawiyat bermakna meletakkan sesuatu pada kadar martabatnya. Apa yang patut didahulukan tidak ditangguhkan. Manakala yang patut ditangguhkan tidak didahulukan. Yang besar tidak dianggap kecil, begitu juga sebaliknya.

Amal salih menurut al-Qur'an mempunyai martabat masing-masing. Nilainya tidak semestinya sama. Golongan pemimpin mestilah peka terhadap hal ini.
ALlah berfirman:

"Adakah kalian menyamatarakan (nilai kebaikan) antara orang yang memberi minum orang-orang haji serta memakrnurkan Masjid al-Haram dengan orang-orang yang beriman dengan ALlah, hari akhirat dan mereka berjihad di jaian ALlah. (Sesungguhnya) tidak sama (nilai antara keduanya) di sisi ALlah. ALlah tidak memberi petunjuk terhadap kaurn yang zalirn. Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan ALlah dengan harta dan nyawa mereka di sisi ALlah lebih tinggi darjat mereka dari orang lain. Mereka itulah orang-orang yang berjaya"
(Surah at-Taubah: ayat 19 - 20)

3. Struktur organisasi serta memiliki perlembagaan yang baik

Kejayaan sesuatu organisasi,banyak bergantung kepada strukturnya yang baik. Perkara seperti ini diatur oleh perlembagaannya yang komprehensif di mana agihan kuasa antara lembaga-lembaga yang ada diwujudkan secara yang terbaik. Tidak terjadi perkara-perkara yang menghalang kerja-kerja organisasi.

Perlembagaannya tidak memungkinkan penyelewengan secara berleluasa Mekanisme untuk memperbaiki kelemahan organisasi sentiasa terbuka.

4. Figure kepimpinan yang cekap serta berketrampilan

Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai bebagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang.
Selain daripada beberapa sifat di atas, kepimpinan mahasiswa hendaklah mempunyai ketrampilannya menggarapi aspek-aspek berikut:

a) wawasan politik yang jelas

Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara

b) ketrampilan berkomunikasi, mampu menguasai pelbagai bahasa

Kelompok mahasiswa yang dipimpin kini bukan hanya suatu bangsa. Oleh kerana itu para pimpinan organisasi mahasiswa masa kini perlu menguasai bahasa lingua franca; samada Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Arab, selain daripada bahasa ibundanya. Mereka perlu cemerlang dalam penguasaan mereka terhadap bahasa-bahasa ini. Dengan penguasaan yang cemerlang mereka berupaya menyampaikan mesej secara lebih berkesan dan convincing.

c) ketrampilan moniver

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mereka mustahak menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Mereka perlu berupaya meraih kemenangan melalui laluan sukar dan halangan yang getir.

d) memiliki keperibadian Islam yang baik

Pimpinan mahasiswa Islam yang baik ialah yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

5. Aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif

Pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa sendiri. Ia (pemimpin) mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap jamaah dan sikap ingin melihat jamaah berjaya.

Hubungan timbal balik yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

6. Kelengkapan teknologi yang berkesan

Untuk membayangkan organisasi mahasiswa lengkap dan penuh sarat dengan peralatan teknologi canggih seperti yang dimiliki oleh sektor korporat atau awam yang advance sudah pasti suatu igauan yang indah. Apa yang dimaksudkan ialah, organisasi mahasiswa mempunyai peralatan teknologi yang minima untuk membantunya beroperasi secara berkesan. Sekurang-kurangnya alat komputer, mesin cetak, faks, telefon dan lain-lain yang setaraf dengan tuntutan zaman kini. Kekurangan yang terlalu menjolok dalam hal ini menjauhkan organisasi berkenaan dari tahap cemerlang.

7. Program perkaderan (leadership program) yang berkesan

Suatu mekanisme yang penting dalam memastikan kesinambungan wawasan kepimpinan pelajar dan mahasiswa Islam ialah wujudnya sistem perkaderan yang baik untuk menampilkan pemimpin pelapis yang berwibawa. Pemimpin yang berfikiran kreatif, setia dengan prinsip dan dasar organisasi.

Organisasi mahasiswa yang cemerlang adalah organisasi yang mampu menyediakan golongan pelapis yang competent untuk menggarap cabaran zamannya dan zaman-zaman yang akan datang. Mereka harus berupaya menampilkan golongan pernimpin yang lebih bijak, lebih berketrampilan dan canggih daripada yang ada sekarang. Lumrahnya cabaran masa depan lebih sengit dan gawat berbanding dengan masa kini.

8. Taufiq dan inayah Allah

Seandainya segala keperluan dan prasyarat untuk maju dan cemerlang telah dimiliki maka suatu faktor yang tidak boleh tidak mesti diperolehi oleh organisasi mahasiswa Islam ialah taufik dan inayah Ilahi. Barakah dan limpah kurnia Allah perlu ditagih dengan amalan amalan ibadah, do'a, zikir dan munajat. Hanya dengan limpahan kurnia Allah, keampunan dan restu-Nya, kecemerlangan duniawi akan mempunyai makna yang lebih diyakini. Sebab itu, organisasi mahasiswa Islam semestinya tidak lekang dengan program Qiamullail, khemah ibadah, halaqah zikir dan lain-lain.

Kesemua nilai-nilai di atas jika diadun dengan baik akan menghasilkan kecemerlangan. Apatah lagi dalam persaingan masyarakat yang serba rencam ini kualiti dan kecemerlangan mahasiswa tidak lagi merupakan satu pilihan, tetapi sudah menjadi syarat mutlak untuk survival atau meneruskan kelangsungan perjuangan. Mahasiswa tidak bergerak dalam ruang yang kosong. Mereka dilengkari oleh persekitaran yang mempengaruhi sikap, minat dan peribadi tiap-tiap individu. Justeru itu budaya gerak-kerja mahasiswa harus didasari oleh nilai akhlak dan etika pergerakan yang baik serta berkesan. Dalam hal ini jika mahasiswa terus-terusan berada di takuk lama, tanpa mahu merebut semua peluang meningkat diri secara agresif, sudah pasti mereka akan terus terpinggir.
Read more!
MASYARAKAT PERLU JELAS KONSEP HALAL

Kita selaku umat Islam yang tinggal di sebuah Negara Islam dan mempunyai pemikiran yang maju selaras dengan konsep Islam Hadhari seharusnya tidak boleh mengabaikan konsep halal-haram pemakanan. Meskipun kita mungkin melihat agak remeh untuk memikirkan tentang isu ini, namun apa yang membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang. Memang diketahui umum bahawa iman merupakan teras pembentukan jiwa dan peribadi diri yang suci lagi murni. Oleh itu, adalah amat penting pemakanan halal yang mampu menjana pembikinan muslim yang hakiki dan sempurna dari semua segi keperibadian manusia.

Umat manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168). Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.

Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah:

1. Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.

2. Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat pengiktirafan halal oleh JAKIM.

3. Mereka juga perlu dijelaskan tentang cara pengurusan makanan dan pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat untuk mereka proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan ayam dalam sebuah lori.

4. Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.

5. Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk memasak makanan bagi orang Islam pula.

6. Perkara terakhir yang perlu diberi perhatian adalah dari segi penjagaan kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.

Jika semua konsep asas ini dapat dijelaskan dengan sempurna kepada masyarakat bukan Islam, nescaya tidak akan berlakunya masalah dan kes sosej yang diproses dengan usus khinzir dan kes-kes yang lain. Atas dasar ini, beberapa langkah efektif perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan untuk memastikan masyarakat bukan Islam memahami dengan jelas apa sebenarnya konsep halal-haram pemakanan dalam Islam. Risalah-risalah perlu diedarkan kepada peniaga bukan Islam untuk memberi kefahaman sepernuhnya kepada mereka agar menyedarkan mereka tentang konsep pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga, seminar tentang konsep halal-haram pemakanan menurut Islam perlu dijalankan kepada wakil setiap peniaga restoran dan syarikat pemprosesan makanan di setiap negeri.

Selain itu, pemantaun yang lebih bagi memastikan logo halal yang digunakan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Cadangan logo halal berkonsepkan hologram perlu dipraktikkan dengan serius.Ini kerana dengan cara ini peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih tidak dapat meniru logo halal keluaran JAKIM.

Peniaga yang mendapat kelulusan halal bagi restoran atau bahan makanan keluaran mereka perlu diberi kad kelulusan bercip bagi memudahkan pihak JAKIM melakukan pemeriksaan pada masa akan datang. Kad bercip itu akan mengandungi segala maklumat seperti bahan makanan serta ramuan yang disediakan oleh syarikat atau peniaga tersebut begitu juga dengan kaedah pemprosesan bahan makanan keluaran mereka.

Secara ringkasnya, kita inginkan sebuah Negara Islam Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan negara tetapi juga maju dari segi nilai moral dan etika insan yang berusaha untuk memajukannya.Ini bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang sering dikatakan oleh kerajaan iaitu maju dari segi pembangunan seiring dengan kemajuan sahsiah diri masyarakatnya. Perlu diingat bahawa usaha menyedarkan konsep halal perlu diperluaskan lagi skopnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kita selaku masyarakat Islam perlu memperjelaskan isu halal ini kepada masyarakat bukan Islam.

Masyarakat yang maju adalah yang maju dari semua segi bukan sahaja dari segi pembangunan material sahaja tetapi dari segi kemajuan insani yang jitu dan mapan. Atas dasar itulah pemakanan yang sempurna dan halal mengikut kehendak syarak membawa kepada keutuhan iman dan kegemilangan sesebuah bangsa itu.
Read more!
WAJARKAH PENGURUSAN JENAZAH DIKOMERSILKAN

Hari ini masyarakat kita semakin maju dan moden, terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti masing-masing sehingga lupa kepada aktiviti kemasyarakatan yang biasa dilakukan secara sukarela dan gotong-royong . Boleh dikatakan pada hari ini semua kerja dilakukan secara upah bukan dilakukan secara percuma dan seikhlas hati sehingga hal menguruskan jenazah.

Sebenarnya inilah antara gambaran masyarakat Islam pada masa kini yang semakin terhakis sifat-sifat tanggungjawab mereka (Fardhu Kifayah), hilang keprihatinan dalam menjalani hidup berkomuniti dan hilan sifat kejiranan.

Membantu menguruskan jenazah secara sukarela pastinya akan mengurangkan beban dan dukacita yang sedang melanda seluarga si mati. Justeru itu, sesuailah apa yang Islam tetapkan bahawa menguruskan jenazah merupakan tuntutan Fardhu Kifayah iaitu dengan sebab adanya sebahagian umat Islam datang membantu melaksanakan tanggungjawab tersebut maka yang lain akan terlepas daripada dosa dan jika tiada seorang pun yang melaksanakan kewajipan tersebut, maka seluruh umat Islam dalam kawasan tersebut akan menanggung dosa.

Secara umunya, pengurusan jenazah seperti sembahyang jenazah, mandi, kapan dan mengusung jenazah memerlukan kos yang bukan sedikit jika dikomersilkan. Lebih menyulit lagi, jika waris yang ditinggalkan itu adalah seorang balu yang tidak bekerja atau anak-anak yatim. Wajarkah mereka perlu memikirkan soal kos sedimikian?

Namun hari ini telah ada usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut apabila kebanyakkan kampong dan taman-taman perumahan telah mengambil inisiatif mewujudkan skim tabung khairat kematian yang bertujuan membantu mengurangkan beban tanggungan menguruskan jenazah di kawasan masing-masing terutama sekali bagi keluarga yang miskin.

Memandangkan ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah dan sukarnya mendapatkan khidmat orang yang menguruskan jenazah pada sesuatu masa maka wujudlah pada zaman ini orang yang menjadikan urusan pengendalian jenazah sebagai satu bisnes. Mereka dikenali sebagai ‘ulat mayat’ yang mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap nasib malang yang menimpa keluarga si mati. Tidak salah menggunakan khidmat mereka tetapi awas kerana mereka kemungkinan berlaku penipuan sama ada ‘broker’ terbabit tidak arif atau tiada tauliah dalam pengurusan jenazah.

Justeru, sebelum terlambat, selok-belok ilmu mengurskan jenazah mesti dipelajari, sekurang-kurangnya untuk persediaan menghadapi kematian ibu bapa atau ahli keluarga sendiri. Ini adalah lebih baik kerana orang yang paling berhak dan lebih afhdhal untuk menguruskan jenazah sebenarnya adalah dari kalangan keluarga si mati. Jika tidak berkemampuan, barulah boleh mendapatkan bantuan orang lain seperti imam atau bilal di kawasan tersebut.
Read more!
DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas mengamalkan agama masing-masing.

Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan Baitulmal. Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini telah dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al-Quran yang telah mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam.

Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran baru ini, yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan, juga dirasai di Malaysia. Dalam keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran' telah diperkenalkan pada tahun 1985.

Rasional

Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran adalah sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai khususnya nilai-nilai Islam ialah:

Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identiti yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting sekali dalam pembentukan identiti Warganegara Malaysia ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh.

Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. Urusan-urusan yang dijalankan dengan penuh rapi, teliti, amanah dan rasa bertanggungjawab boleh membawa kepada pembentukan identiti yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti Malaysia ini. Tanpa penerimaan nilai-nilai hidup yang mulia tidak mungkin identiti yang membanggakan dapat dicapai.

Sebagaimana yang sedia dimaklumi 'identiti' tidak boleh pisahkan daripada nilai. Persoalannya ialah; "Apakah nilai yang boleh digunakan bagi mengukuhkan sesuatu identiti?" Ramai yang berpendapat masalah nilai lebih sesuai diserahkan kepada individu-individu dan komuniti-komuniti yang berkenaan untuk menentukannya. Tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia akan berakhir dengan kekeliruan yang berterusan di dalam masyarakat. Oleh itu adalah sangat wajar sekiranya dijelaskan secara langsung nilai yang perlu diterima dan diterapkan dalam masyarakat. Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu diasaskan kepada kehendak dan pengajaran Islam bagi membentuk sebuah negara yang produktif dan bermoral tinggi. Mungkin pada awalnya ia akan dipersoalkan menerusi kacamata agama atau budaya lain kerana memilih nilai yang diasaskan kepada satu agama sahaja. Tetapi dengan merenung kembali dan memahami negara Malaysia itu sendiri, setiap rakyat akan mendapati dan menyedari bahawa langkah untuk memilih nilai Islam itu adalah langkah yang wajar. Sebaliknya pula mereka yang tidak memahami tentang kedudukan Negara Malaysia dari segi geografi, sejarah, kebudayaan, perlembagaan dan lain-lainnya akan terus mempertikaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, setelah melihat secara objektif, maka tidak akan ada satu sebab pun untuk menolak bahawa nilai yang berasaskan kepada agama Islam itu ialah yang paling sesuai untuk membangunkan masyarakat Malaysia umumnya. Nilai-nilai Islam itu boleh menjadi penggerak ke arah membanteras unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara ini seperti fahaman komunis, kemiskinan, rasuah, kecuaian, kejahilan, penyelewengan dan sebagainya yang sentiasa mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan pembangunan negara.

Al-Quran juga telah menamakan agama Islam sebagai agama yang bernilai. Penamaan ini memberikan keyakinan kepada semua orang bahawa kandungan yang terdapat di dalam kitab suci Al-Quran itu adalah merupakan nilai-nilai yang mulia kerana ia merupakan bimbingan-bimbingan (hidayah) yang datang daripada Allah s.w.t. dan ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja kepada yang beragama Islam. Di antara bimbingan-bimbingan yang terpenting ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan moral (akhlak). Ini bererti bahawa apa yang dimaksudkan dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran ialah bimbingan pembentukan akhlak yang berfaedah dan berfungsi dalam kehidupan setiap rakyat menuju ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai yang murni dan membina ke dalam sistem pentadbiran negara.

Pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab Kerajaan memastikan kelicinan jentera pentadbiran Kerajaan yang merupakan saluran terpenting dalam pelaksanaan sesuatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang diatur oleh Kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera Kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Bagi menjayakan pentadbiran Kerajaan, nilai-nilai Islam yang diutamakan boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Menurut YAB. Perdana Menteri, nilai-nilai yang diutamakan untuk pentadbiran yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam ialah amanah kejujuran, tanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, disiplin, mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, sanggup berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral dan berkelakuan baik dan lain-lain.

Objektif

Objektif dasar ini adalah seperti berikut:

(i) Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti
kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;
(ii) Menubuhkan sebuah 'negara bahagia';
(iii) Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang
dipertanggungjawabkan; dan
(iv) Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.

Berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.

Nilai-nilai Islam

Hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut ialah:

Amanah;
Tanggungjawab;
Ikhlas;
Dedikasi;
Sederhana;
Tekun;
Bersih;
Berdisiplin;
Bekerjasama;
Berbudi Mulia; dan
Bersyukur.

Sebelas nilai ini dipilih kerana ia merupakan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai kunci kepada kejayaan dalam menjalankan urusan-urusan kehidupan terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara.

Bagaimanakah nilai-nilai Islam ini boleh dihayati? Berikut ialah takrif/pandangan mengenai sikap dan budaya kerja berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam pentadbiran awam.

Amanah

(i) Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;
(ii) Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi
menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;
(iii) Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi
kepentingan tugas;
(iv) Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi
masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja; dan
(v) Mengutamakan kepentingan awam sebagai teras perkhidmatan.

Tanggungjawab

(i) Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan, di
samping pekerjaan dan majikan;
(ii) Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan
buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur;
(iii) Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja
diperlukan;
(iv) Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/
instutusi/awam dalam menjalankan tugas; dan
(v) Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Ikhlas

(i) Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan
balasan dari manusia;
(ii) Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang
halal serta mencari keredhaannya; dan
(iii) Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam melaksanakan
tugas sebagai asas pengisian amanah.

Dedikasi

(i) Kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah
peraturan-peraturan yang ada;
(ii) Komited kepada sebarang perubahan yang positif dan kepada
kebaikan;
(iii) Sedia mengubah sikap demi kebaikan bersama dan tugas;
(iv) Sedia memulakan pembaikan; dan
(v) Berinisiatif dan proaktif dalam melaksanakan tugas harian.

Sederhana


(i) Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugas;
(ii) Keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira fakta
fakta yang terdapat dalam alam sekitar;
(iii) Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk
membaiki cara bekerja;
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai
tahap cemerlang.

Tekun

(i) Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam
tugas dan kehidupan;
(ii) Berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi;
(iii) Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk
membaiki cara bekerja;
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai
tahap cemerlang.

Bersih


(i) Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian;
(ii) Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar
sebagai satu cara hidup;
(iii) Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;
(iv) Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat
keputusan;
(v) Berkhidmat demi kebajikan semata-mata; dan
(vi) Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan
pemikiran dalam membuat keputusan.

Berdisiplin


(i) Mengetahui priority dan mengutamakan yang lebih utama;
(ii) Menilai tinggi masa dan janji;
(iii) Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang; dan
(iv) Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.

Bekerjasama

(i) Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan kerja;
(ii) Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi
sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama.
(iii) Mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan di tempat kerja
daripada kepentingan peribadi;
(iv) Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan
bersama; dan
(v) Mengelakkan konflik kepentingan berdasarkan peribadi:
Mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.

Berbudi Mulia

(i) Bermanis muka sepanjang masa;
(ii) Bertimbang rasa dan bertolak-ansur;
(iii) Menghormati rakan sejawat dan pelanggan/pelawat; dan
(iv) Sentiasa memulakan 'pertanyaan' dengan tujuan untuk menolong
pelanggan/pelawat.

Bersyukur

(i) Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin
kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat;
(ii) Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif sehingga
menggerakkan untuk lebih berusaha gigih;
(iii) Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak bertentangan
dengan kehendak agama (nilai-nilai agama dan kerohanian);
(iv) Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
(v) Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia;
(vi) Berkhidmat sebagai ibadah; dan
(vii) Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan yang
banyak kepada masyarkat, negara dan agama.


Penghayatan terhadap nilai-nilai akhlak yang murni dan membina itu akan memudahkan usaha-usaha untuk memajukan berbagai-bagai bidang yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, pembangunan, undang
Read more!
PENTINGNYA KHUTBAH JUMAAT

Khutbah Jumaat merupakan satu medium dakwah terpenting pada masa kini. Ini kerana dalam khutbah Jumaat mempunyai unsur-unsur nasihat, peringatan, pengetahuan, pengkajian tentang satu-satu isu atau permasalahan. Sekiranya khutbah Jumaat ini ditulis dan dirangka dengan baik, maka untuk melahirkan umat yang terunggul dan bertamadun berpotensi disamping dengan ibadah-ibadah dan amalan-amalan yang lain. Akan tetapi, kebanyakkan khutbah Jumaat ditulis dan dirangka dengan baik, tetapi ada juga khutbah Jumaat tidak mengandungi isi yang dapat dimanfaatkan oleh makmum atau jemaah. Hal ini kerana ada sesetengah khutbah Jumaat isi kandungannya terlalu mendatar dan ceritanya yang sudah lapok.

Maka demikian juga halnya dengan sebahagian khatib, terutama khatib-khatib di kampung-kampung tidak dapat membaca ayat-ayat al-Quran atau hadis dengan baik. Ini berlaku kerana ada sesetengah dari mereka bukan terpelajar dari sekolah-sekolah arab, sudahlah begitu kertas khutbah Jumaat dibuka ketika sedang duduk azan yang kedua. Fenomena ini berlaku mungkin kerana kecuaian khatib itu sendiri, terlalau sibuk ataupun kerana bahan khutbah Jumaat tersebut lambat sampai ke tangan khatib. Ada juga sesetengah khatib berusaha untuk membaca kalimah-kalimah yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran beberapa kali, dan apabila gagal, dia melompat kepada kalimah-kalimah berikutnya.

Kadang-kadang didapati perkataan yang sukar digunakan dalam khutbah Jumaat, kalimah-kalimah canggih kacukan bahasa Inggeris, menyebabkan khatib mengulanginya beberapa kali dalam usaha menyampaikan mesej yang ingin diterapkan. Jelas sangat kalimah-kalimah seperti itu tidak pernah digunakan oleh khatib itu.

Penulis-penulis khutbah Jumaat pula tidak perlu meletakkan ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang terlalu panjang. Ini kerana akan membebankan khatib yang membaca. Dalam masa yang sama perlu disedari kebanyakkan makmum atau jemaah tidak memahami bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Dalam khutbah Jumaat yang memakan masa lebih kurang 20 minit, ada khutbah Jumaat yang mengandungi empat atau lima tajuk di dalamnya, yang menceritakan penderitaan umat Islam di Afghanistan dan Iraq, kepentingan menuntut ilmu seperti yang diajar oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian melompat kepada hadis faedah berbaik-baik dengan jiran, pahala bagi orang yang sabar dan sebagainya. Orang Islam sepatutnya memanfaatkan masa yang diberi untuk mendengar khutbah Jumaat itu sebaik mungkin. Inilah masa yang paling mudah dan sesuai sekali dalam seminggu yang tersedia ada untuk menyalurkan maklumat kepada umat Islam. Inilah hujah utama kenapa khutbah Jumaat itu diperlukan dan bukan semata-mata menjadi salah satu syarat sembahyang Jumaat tersebut.

Hukum mendengar isi khutbah Jumaat itu wajib sebagai syarat sah Jumaat. Hadis Nabi s.a.w “Hendaklah didengar khutbah Jumaat itu oleh 40 orang hadir, biarpun mereka tidak faham apa yang dicakap atau dituturkan oleh khatib, kecuali mereka tidak mendengar kerana pekak.”

Biarpun kefahaman kandungan khutbah Jumaat yang dibaca itu tidak perlu, namun usaha mengaplikasikannya oleh para makmum atau jemaah, penghayatan khutbah itu tetap perlu. Tanpa penghayatannya, maka pengaplikasiannya itu tidak dapat dilaksanakannya.
Read more!
PERBETULKAN FALSAFAH POLITIK ISLAM

Pertelagahan yang melibatkan isu-isu agama sesuatu yang sensetif sekaligus menyaksikan perpaduan umat Islam sentiasa berada dalam keadaan goyah.

Sedangkan agama sepatutnya menjadi faktor utama yang membolehkan umat Islam menuju penyatuan dan perpaduan. Tetapi ia dijadikan modal untuk parti-parti yang berasakan Negara bangsa dan warisan Kolonial ini menonjolkan diri menjadi juara dalam isu Islam.

Arus kebangkitan Islam dan perkembangan dakwah di awal 1970-an turut banyak mempengaruhi perubahan struktur dan imej umat Islam. Namun umat Islam masih tidak mampu mampu melakukan proses pendekatan semula, jauh sekali untuk bersatu sebagai satu ummah.

Pergeseran politik dengan menggunakan pendekatan bahasa politik Islam sempit untuk meraih sokongan besar umat Islam amat membimbangkan.

Justeru umat Islam perlu melakukan satu proses pembetulan semula, sebagai langkah awal, umat Islam perlu kembali kepada konsep sebenat falsafah politik Islam dan bukannya terus terperangkap dalam politik hizbiah (kepartian).
Read more!
PENTINGKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Ibu bapa perlu prihatin untuk membantu pendididkan anak-anak walaupun kehidupan ibu bapa serba kekurangan. Kita mahu melihat anak-anak kita menjejak kaki ke universiti sebagai lambang kejayaan pendidikan. Pengajian masa kini memerlukan sokongan kos yang tinggi. Ibu bapa perlu membuat tabungan khas untuk pendidikan anak-anak sendiri.

Ibu bapa perlu melakukan pelbagai usaha bagi memupuk anak-anak supaya belajar menabung sejak kecil lagi. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan insurans pendidikan untuk anak-anak dan perlu menyedari taraf hidup pada masa kini yang kian meningkat akibat harga bahan api kita yang meningkat secara mendadak menyebabkan segala barangan keperluan kita melambung naik tanpa kawalan yang mnyeluruh.

Dalam aspek kerjaya, ibu bapa perlu memberi perhatian apakah bidang yang diminati oleh anak-anak kita sama ada sebagai guru, bekerja dengan kerajaan, bidang perniagaan atau dalam bidang agama sebagai pendakwah.

Dalam meningkatkan pendidikan anak-anak, ibu bapa perlulah meningkatkan bahan-bahan bacaan bagi membantu anak-anak sendiri lebih memahami peluang pendidikan dan laluan kerjaya tempatan umpamanya melalui pengedaran majalah dan sebgainya.

Ibu bapa perlu memberi input kepada anak-anak kita dalam membantu penyaluran maklumat pendidikan serta peluang kerjayanya.

Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak ke seminar-seminar atau bengkel-bangkel kerjaya bagi memberi pendedahan langsung kepada anak-anak menentukan aliran kerjaya mereka.
Read more!
WUJUDKAN EKONOMI ISLAM

Peniaga dan pengguna Islam di negara ini perlu bekerjasama bagi mewujudkan sistem perekonomian Islam di kalangan masyarakat. Tindakan berkenaan wajar bagi mengurangkan pergantungan masyarakat Islam terhadap orang lain dalam menyediakan segala kemudahan dan barangan keperluan kepada mereka.dalam kehidupan. Umat Islam negara ini tidak boleh lagi menjadi pengguna sepanjang masa sebaliknya perlu mencari alternatif yang sesuai untuk menampung keperluan mereka

Masyarakat Islam kini perIu menjadi pengusaha, pengehar, atau peniaga yang dapat bersaing dengan bangsa lain supaya kita boleh mewujudkan sistem perekonomian lslam. Masyarakat Islam perlu memperlengkapkan diri supaya ekonomi kita dapat bersaing di pasaran terbuka dalam era globalisasi dan teknologi maklumat kini.

Umat Islam perlu meninjau peluang yang wujud menerusi globalisasi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat pengguna Islam di negara ini.

Dalam ekonomi, jangan kita menindas antara satu sama lain, sebaliknya peniaga perlu menjaga kepentingan pengguna manakala pengguna juga harus menjaga kepentingan peniaga. Kita perlu ingat, kepentingan jemaah adalah lebih penting daripada kepentingan individu dan sebagai umat Islam, kita perlu menggunakan kebijaksanaan untuk kebaikan semua saudara yang lain.

Semua pengguna kini perlu melengkapkan diri bagi menangani masalah yang ditimbulkan oleh peniaga dan menimba pengetahuan supaya lebih memahami dunia kepenggunaan masa kini.
Read more!
RUMAHKU SYURGAKU

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruhpengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda serta menggugat kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, melepak, ‘vandalisme’ dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya para ibu bapa berusaha menanganinya.

Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumah tangga, perilaku anak-anak yang liar, tiada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan. Sehubungan dengan itu Wawasan 2020 telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benarbenar berbudaya penyayang, adalah sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyatnya tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.

Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Menerusinya akan wujudlah sebuah masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berbudaya mulia yang kemudian akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat mendepani pelbagai cabaran.

Konsep dan falsafah “Rumahku Syurgaku”

Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan Rumahku Syurgaku ini adalah berasaskan keapda syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Di antara aspek-aspek yang ditekankan ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.

Membina Kebahagiaan


Kebahagiaan adalah suatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa tenang, suka dan gembira. Ini dapat dinilai melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu mengapa setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Sebaliknya kegagalan untuk mendapat kebahagiaan akan membawa kepada kekecewaan. Kita dapati, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan.

Hakikatnya kemuncak kebahagiaan sebenar dalam hidup seseorang itu ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal soleh serta menghindari segala bentuk larangan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat yang bahagia ialah mereka yang patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyu’.

Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan

Hidup dalam erti kata yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, antaranya ialah untuk tidak melupakan kehidupan dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan itu mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan serta mencapai ketinggian darjat menepati kehendak Islam sebagai agama yang tinggi. Kemuliaan Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tidak berkualiti. Ilmu pengetahuan itu mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama: membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua: membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas.

Mewujudkan suasana penghayatan Islam dalam keluarga

Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula di rumah. Untuk menjadikan rumah sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti seperti mendirikan sembahyang secara berjemaah, membaca al-Quran, memberi salam ketika masuk dan keluar rumah dan sebagainya perlu dihidupkan bagi mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesebuah rumah tangga.

Mengekalkan kedamaian dan Kerukunan rumah tangga

Rumah tangga bahagia ialah rumah tangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya menerusi kehidupan yang diredhai Allah SWT dengan memberi didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka. Di antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumah tangga ialah menanamkan sikap tolong menolong dan bantu membantu dalam keluarga, menjalinkan semangat kejiranan yang baik, menunaikan tuntutan fardhu kifayah, mengadakan aktiviti rekreasi dan sebagainya. Semuanya ini akan dapat
mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam keluarga.

Mengukuh dan menjaga ekonomi rumah tangga

Tidak dinafikan bahawa wang dan harta merupakan satu keperluan dalam kehidupan berumah tangga, lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini. Boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh itu Islam menyuruh umatnya bekerja kuat mencari kehidupan yang kukuh dan maju supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran. Dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumah tangga, setiap keluarga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan jalan yang betul dan halal. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran, makan riba, rasuah, menipu, merompak dan sebagainya wajib dijauhi malahan Islam menyuruh umatnya supaya hidup bersederhana dan berjimat cermat serta mengutamakan keberkatan Ilahi. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umur seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi adalah untuk tabungan atau simpanan untuk kegunaan di masa depan.

Mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga

Rumah tangga adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula di rumah. Kebersihan di dalam rumah akan melahirkan suasana yang harmoni dan sejahtera kerana kebanyakan gejala sosial hari ini adalah berpunca dari kepincangan rumah tangga dan keadaan rumah yang tidak terurus.

Berkomunikasi secara baik

Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumah tangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititikberatkan oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia...”. (ali-Imran: 112)

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur berhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Dalam mencapai tahap kesempurnaan sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing serta menjalankan kewajipannya. Manakala bagi mengekalkan dan meningkatkan hubungan baik dalam keluarga pulak, aspek kemahiran komunikasi adalah sangat penting. Kebanyakan orang tidak peka dengan keperluan ini dan tidak mengambil inisiatif untuk memahami setiap permasalahan yang timbil dalam keluarga sedangkan pendekatan ‘hikmah’ seperti toleransi, pemaaf dan sebagainya amat dituntut oleh syarak.

Memupuk kasih sayang dalam keluarga

Kasih sayang dalam keluarga adalah penting. Elemen ini perlu wujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih saying dalam keluarga. Di antaranya ialah melalui didikan yang sempurna. Selain pendidikan secara formal yang diterima di sekolah, anak-anak juga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat kerjasama, tunjuk ajar, nasihat dan kaunseling yang membina. Lebih daripada itu anak-anak bukan sahaja perlu diajar supaya saling menyayangi sesama ahli keluarga, malah merasa sayang terhadap binatang peliharaan dan harta benda. Mereka hendaklah selalu diingatkan bahawa Allah SWT sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan tolong menolong sesama sendiri. Sebaliknya Allah SWT benci kepada orang-orang yang sering bergaduh, bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci-membenci sesame sendiri. Sekiranya berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutama sekali para ibu bapa hendaklah segera mencari jalan penyelesaian. Sesungguhnya kasih sayang adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya dalam sesebuah keluarga itu tidak wujud satu ikatan yang baik dan harmoni, maka masyarakat akan menjadi pincang, lantas bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan.
Read more!
ELAK SAMBUT VALENTINE'S DAY

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai kalangan masyarakat kita khususnya di kalangan muda-mudi, sekitar akhir tahun 1980-an beriringan dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan ataupun filem-filem yang bertemakan perayaan tersebut.

Perayaan Hari Kekasih semakin dikenali oleh generasi muda kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada media cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali oleh mereka sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai atau dikasihi. Perayaan ini biasanya diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa bungkusan coklat atau bunga yang bertuliskan perkataan ‘I wish you will be my valentine’ kepada orang yang dikasihi. Setelah itu diadakan pesta pesta yang diisi dengan hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya. Ini tidak menghairankan kerana budaya ini sememangnya diimport dari budaya barat yang bersifat serba boleh dan hedonisme (menurut hawa nafsu). Kebelakangan ini, pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Perkara ini pernah dikomen oleh Ku Seman Ku Hussain dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 November 2000 bertajuk ‘Apa dihairankan dengan parti buih.’ Beliau mengulas bahawa serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa ke atas ‘parti buih’ di Bangsar yang diraikan dengan tarian bogel dan pakaian mandi itu tidak menjadi hairan kerana beberapa tahun sebelumnya pernah ada penganjur yang ingin mengadakan parti yang serupa bersempena Hari Kekasih tetapi mendapat tentangan pihak jawatankuasa Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar. Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama ‘Valentine’s Special.’

Di samping itu, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih. Bagi merungkaikan isu ini, kita perlu mendalami dan memahami apakah maksud di sebalik Valentine itu sendiri serta asal-usul ia menjadi sebuah perayaan?

Dari sudut bahasa, Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud; kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology and History of First Name). Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine. Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine.

Pertama, Hari Valentine bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno, ratu kepada dewa-dewa dan dewidewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

Kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai symbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

Ketiga mengatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri. Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh umat Kristian. Malah sekiranya kita merujuk kepada kenyataan-kenyataan pihak Kristian pada hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual di dalam agama Kristian.

Di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah topic Definition of religious Holy Days (Pengertian Hari-hari Suci keagamaan), di bawah indeks Saint Valentine’s Day menyebut bahawa: “Christian celebration of the love of God presented in Jesus and in the lives of Christian believers. St Valentine was a 3rd century martyr. This day is widely observed in the USA as a secular celebration of love.” Bermaksud : Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian, St. Valentine merupakan syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di USA sebagai perayaan cinta di zaman sekular. Termaktub di dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa jua versi berkenaan dengan St. Valentine, kesemua mereka adalah dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut : At least three different Saint Valentines, all of them martyrs, are mentioned in the early martyrologiesunder date of 14 February. Bermaksud : Sekurang-kurangnya terdapat tiga orang St. Valentine yang berbeza, kesemua mereka merupakan syahid, ianya disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari. Manakala Britain Broadcasting Company (BBC) News Online Network melaporkan pada hari Ahad, 14 Februari 1999 bahawa terdapat dakwaan daripada biarawan di Gereja St. John Duns Scotus di Glasgow, Scotland bahawa wujudnya tulang Valentine yang syahid, ianya merupakan servis istimewa hari Valentine pada hujung minggu serta diletakkan di ruang pameran sebagai pameran umum dengan termaktub di atas kerandanya tulisan ‘Corpus St. Valentine Martyris’. Dikatakan bahawa mayatnya telah diletakkan di ruang sayap Gereja St. Francis semenjak berabad lamanya, dan enam tahun lepas mereka baru sahaja meletakkannya di dalam keranda kayu di dalam kotak kadbod di atas almari berhampiran rumah gereja. Dalam pada itu, nama St. Valentine juga sering digunakan oleh gereja-gereja Roman Katolik bersempena mengingati jasa-jasa tokoh agama tersebut, seumpama St. Valentine Church di Philadelphia, Pennsylvania, St. Valentine’s Catholic Church di Peru, Illinois, St. Valentine Church di Bethel Park, Pennsylvania, St. Valentine Church di Thonstetten, Moosburg, Munich dan St. Valentine Church di Buffalo, New York.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, jelas bahawa Hari Valentine merupakan salah sebuah perayaan yang menjadi amalan ritual di dalam agama Kristian. Ini sekaligus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih dalam soal yang melibatkan aqidah Islam. Islam sangat prihatin dan sangat menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.; “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6) Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim Dalam hal ini Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memutuskan bahawa “Amalan menyambut Hari Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam”. Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.
Read more!
MENJAGA RAHSIA RUMAH TANGGA

Rumah tangga perlu dibina berasaskan kepada nilai-nilai murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna dan bahagia akan mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak yang berkualiti. Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan secukupnya berkenaan ilmu rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan berkeluarga. Betapa tidak, rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam mengendalikan urusan rumah tangga mereka. Cukuplah sekadar menyediakan makan pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih sayang dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya berlakulah kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan yang
sudah tua. Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak, sumbang mahram dan seumpamanya

Mengawal Sikap

Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.

Hakikat Rahsia

Hakikat rahsia rumahtangga yang dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu diketahui kedudukannya seperti:

1. Rahsia khusus: Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.

2. Rahsia Yang Menyentuh Keselamatan: Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Dalam keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana. Tersalah memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya kerana sejarah ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala maklumat sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui
tutur kata atau perilaku mereka.

3. Rahsia Harta Benda: Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)

Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah menjadi tanggungjawb suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan itu, Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (Bukhari dan Muslim)

4. Rahsia Bilik Tidur: Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir rahsia rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya member salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktuwaktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.

5. Rahsia Berhubung Soal Maruah: Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita-wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34) Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya pasangan gagal menjaga maruah dirinya seperti:

i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.
ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah.
iii. Pasangan menduakan suami atau isteri.
iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain.

6. Rahsia Berhubung Nafkah:
Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia tersebut.

i)Jika Sudah Terpaksa
Sikap saling memahami dan berlapang dada (sabar) adalah yang paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu yang menjadi suami atau isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau isteri bertindak meluahkan perasaan dan menceritakan rahsia pasangan kepada orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumah tangga terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga. Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul oleh suaminya. Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya boleh dikenakan qisas (pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun wahyu yang membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu iaitu dengan tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul kerana geram). Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumah tangganya dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga iaitu Rasulullah s.a.w. Maka dalam kes seumpama ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil
dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa
dibuka ke pengetahuan seseorang. Maka beberapa perkara harus diambil kira iaitu:

ii) Merujuk Kepada Orang Yang Sesuai
Andainya sudah bulat tekad untuk membawa soal dalaman rumah tangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah bahawa orang yang diadu itu adalah orang yang amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting di boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.

ii) Membuka Rahsia yang sesuai
Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.

iii) Merujuk kepada Hakam
“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi. Hal ini disebutkan melalui firman Allah SWT yang maksudnya: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)
Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

iv) Merujuk kepada mahkamah
Ini merupakan peringkat terakhir di mana jalan penyelesaian melalui
perbincangan dan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini mahkamah boleh membuat keputusan ke atas masa depan rumah tangga tersebut di mana rahsia rumah tangga terbabit terpaksa disingkap di hadapan hakim atau mahkamah. Mengambil Iktibar: Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid. Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.

Biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”
Read more!

About