WAJARKAH PENGURUSAN JENAZAH DIKOMERSILKAN

Hari ini masyarakat kita semakin maju dan moden, terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti masing-masing sehingga lupa kepada aktiviti kemasyarakatan yang biasa dilakukan secara sukarela dan gotong-royong . Boleh dikatakan pada hari ini semua kerja dilakukan secara upah bukan dilakukan secara percuma dan seikhlas hati sehingga hal menguruskan jenazah.

Sebenarnya inilah antara gambaran masyarakat Islam pada masa kini yang semakin terhakis sifat-sifat tanggungjawab mereka (Fardhu Kifayah), hilang keprihatinan dalam menjalani hidup berkomuniti dan hilan sifat kejiranan.

Membantu menguruskan jenazah secara sukarela pastinya akan mengurangkan beban dan dukacita yang sedang melanda seluarga si mati. Justeru itu, sesuailah apa yang Islam tetapkan bahawa menguruskan jenazah merupakan tuntutan Fardhu Kifayah iaitu dengan sebab adanya sebahagian umat Islam datang membantu melaksanakan tanggungjawab tersebut maka yang lain akan terlepas daripada dosa dan jika tiada seorang pun yang melaksanakan kewajipan tersebut, maka seluruh umat Islam dalam kawasan tersebut akan menanggung dosa.

Secara umunya, pengurusan jenazah seperti sembahyang jenazah, mandi, kapan dan mengusung jenazah memerlukan kos yang bukan sedikit jika dikomersilkan. Lebih menyulit lagi, jika waris yang ditinggalkan itu adalah seorang balu yang tidak bekerja atau anak-anak yatim. Wajarkah mereka perlu memikirkan soal kos sedimikian?

Namun hari ini telah ada usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut apabila kebanyakkan kampong dan taman-taman perumahan telah mengambil inisiatif mewujudkan skim tabung khairat kematian yang bertujuan membantu mengurangkan beban tanggungan menguruskan jenazah di kawasan masing-masing terutama sekali bagi keluarga yang miskin.

Memandangkan ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah dan sukarnya mendapatkan khidmat orang yang menguruskan jenazah pada sesuatu masa maka wujudlah pada zaman ini orang yang menjadikan urusan pengendalian jenazah sebagai satu bisnes. Mereka dikenali sebagai ‘ulat mayat’ yang mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap nasib malang yang menimpa keluarga si mati. Tidak salah menggunakan khidmat mereka tetapi awas kerana mereka kemungkinan berlaku penipuan sama ada ‘broker’ terbabit tidak arif atau tiada tauliah dalam pengurusan jenazah.

Justeru, sebelum terlambat, selok-belok ilmu mengurskan jenazah mesti dipelajari, sekurang-kurangnya untuk persediaan menghadapi kematian ibu bapa atau ahli keluarga sendiri. Ini adalah lebih baik kerana orang yang paling berhak dan lebih afhdhal untuk menguruskan jenazah sebenarnya adalah dari kalangan keluarga si mati. Jika tidak berkemampuan, barulah boleh mendapatkan bantuan orang lain seperti imam atau bilal di kawasan tersebut.

1 comments:

mutiaratihani berkata...

salam..
sungguh artikel yg sangat bagus..

banyakkanlah aktiviti kursus pengurusan jenazah di kampus..
sebagaimana banyaknya kursus perkahwinan..

About