1.0 PENDAHULUAN

Dakwah Islamiah bukanlah suatu kegiatan sambilan kerana ia merupakan suatu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam. Ia perlu dilakukan oleh orang yang berilmu bukan sekadar orang yang berminat atau bersemangat. Seorang pendakwah perlu mengetahui asas-asas ilmu dakwah sebelum ia memasuki dalam dakwah Islamiah itu. Dalam mengetahui asas-asas ilmu dakwah, kita boleh mempelajari manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w, di mana baginda merupakan perintis kepada ilmu dakwah yang boleh diguna pakai sehingga hari ini.

Manhaj-manhaj Nabi Muhammad s.a.w telah banyak diperjelaskan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Dalam penjelasan tersebut, banyak menceritakan tentang pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyebarkan mesej-mesej dakwah itu. Namun begitu, masih ramai umat Islam pada masa kini tidak memahami manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w yang telah diperjelaskan untuk diguna pakai pada konteks masa kini. Hal ini berlaku kerana keadaan umat Islam pada masa kini tidak lagi menghayati ajaran Islam itu dengan sebaik mungkin dan mungkin ramai telah terpengaruh dengan budaya barat yang sememangnya telah tersimpang jauh dari ajaran Islam.

Dalam menghadapi situasi ini, kita sebagai umat Islam perlu mempelajari manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w khususnya di Madinah yang boleh diaplikasikan dalam konteks masa kini. Hal ini kerana seruan dakwah adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap umat Islam seperti dalam firman Allah (SWT) dalam surah ali-Imran ayat 104 :

Maksudnya:
“dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”. (Surah ali-Imran, 3:104)

Dalam kertas kerja ini akan menerangkan tentang manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah dan cabaran-cabaran dakwah pada masyarakat masa kini oleh pendakwah dalam meneruskan usaha ini.

1.3 Literature Review / Kajian Kepustakaan

Di dalam rencana yang ditulis oleh Syamsul Bahri Andi Galigo (1998) yang bertajuk “Pendekatan Dakwah Terhadap Non Muslim Mengikut Perspektif Sirah Nabawiah” menjelaskan metode-metode dakwah Nabi Muhammad s.a.w yang telah baginda cetuskan di Makkah dan Madinah. Rencana ini menjelaskan secara terperinci bagaimana baginda berhadapan dengan umat pada masa itu yang terdapat pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan yang perlu baginda lalui. Namun, kebijaksanaan baginda dalam berdakwah menghasilkan manhaj-manhaj dakwah yang boleh diaplikasikan pada masa kini yang bersesuaian. Penjelasan yang diutarakan dengan membawa kisah-kisah dapat menguatkan lagi pemahaman kepada pembaca.

Di dalam tulisan “Dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah” oleh Roziah Sidek (2002) menjelaskan strategi dan hikmah penghijrahan baginda, memahami latar belakang masyarakat kota Madinah menjelang penghijrahan baginda ke kota tersebut, menyebut langkah-langkah awal baginda di Madinah dan menjelaskan perkembangan dakwah Islam yang berlaku selepas Sahifah Madinah. Namun begitu, tulisan ini tidak menjelaskan secara terperinci manhaj-manhaj dakwah baginda. Tulisan ini banyak menjelaskan bagaimana terjadinya satu perkara itu berdasarkan keperluan pada masa itu.

Di dalam kertas kerja yang bertajuk “Metode Dakwah Nabi Muhammad s.a.w:Satu Pendekatan Teori dan Praktikal Kepada Belia Masa Kini” oleh Shahrulanuar bin Mohamed, Nooraini Sulaiaman, Mahadi Abu Hassan & Norliah Kudus (2007) menjelaskan memahami metode dakwah Nabi Muhammad s.a.w adalah tugas utama yang perlu diambil perhatian khususnya kepada pendakwah pada zaman sekarang. Pemahaman yang jelas terhadap metode-metode dakwah yang telah diperjelaskan adalah penting bagi menghadapi cabaran-cabaran kerenah remaja mahupun belia pada alaf baru ini. Kertas kerja ini menerangkan secara umum metode. Namun begitu, kertas kerja ini tidak menjelaskan manhaj-manhaj yang dakwah Nabi Muhammad s.a.w dicetuskan di Makkah atau Madinah.


2.0 GAMBARAN KOTA MADINAH SEBELUM PENGHIJRAHAN NABI MUHAMMAD S.A.W

Madinah merupakan sebuah kota bagi sebuah masyarakat majmuk. Dari sudut etnik, ia terdiri daripada etnik Arab dan etnik Yahudi. Orang Yahudi terdiri daripada tiga kabilah, iaitu Qainuqa’, al-Nadir dan Quraizah. Antara kabilah-kabilah ini tidak aman kerana adanya perbalahan dan rebutan antara mereka. Manakala di kalangan orang Arab pula terdiri daripada beberapa suku kaum, seperti Khazraj dan Aus. Keadaan mereka sentiasa bermusuhan, sama ada antara etnik dan kabilah atau suku kaum. Orang Arab Madinah samalah dengan orang Arab lain, menganuti kepercayaan keberhalaan, memuja dan menyembah patung-patung berhala (Ab Aziz Mohd Zin, 2001:57).

Sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah, Islam telah diketahui oleh penduduk Madinah dan ramai telah memeluknya. Hubungan sesetengah orang Madinah dengan Nabi Muhammad s.a.w di Makkah sejak beberapa tahun sebelum hijrah menyebabkan agama ini tidak dikenali dan disebarkan di Madinah. Walaupun sebelum hijrah, Islam tidak asing lagi bagi penduduk Madinah.

3.0 MANHAJ-MANHAJ DAKWAH NABI MUHAMMAD S.A.W DI MADINAH

Manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah bertujuan untuk membina keyakinan dengan apa yang akan baginda sampaikan. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul utusan Allah (SWT) yang akan membawa masyarakat Madinah ke jalan yang benar melalui pendekatan-pendekatan seperti yang dinyatakan.


3.1 Manhaj Tarbiyyah

Pendekatan ini adalah pendekatan pendidikan dilakukan oleh Nabi s.a.w kepada mereka yang sudah menerima lslam, kerana didikan yang kukuh akan menjadikan mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pihak musuh. Dengan wujudnya sahsiah yang mantap, ia boleh mempengaruhi orang luar untuk mengikuti jejak mereka. Di sinilah letaknya kepentingan manhaj pendidikan ini bagi membangun manusia contoh yang boleh mempengaruhi orang luar menerima lslam secara mudah dan senang hati.

Dalam sejarah lslam dinyatakan beberapa tempat yang pernah dijadikan lokasi pendidikan yang dilaksanakan secara langsung oleh Nabi atau oleh sahabat dengan arahan Nabi. Di antara ialah:

1. Membina masjid
Pembinaan masjid sebagai perkara pertama yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan di Yathrib jelas menggambarkan kepentingan institusi masjid tersebut dalam menegakkan syiar Islam yang selama ini diperangi. Ia boleh berperanan besar dalam menyatukan akidah umat Islam. Pembinaan masjid juga membuktikan bahawa seluruh ibadat dalam Islam adalah menjurus kepada pembersihan jiwa, pemurnian akhlak, pengukuhan ikatan antara sesama Islam terutamanya dalam hal bantu-membantu dan ketakwaan.

Masjid yang didirikan di Yathrib asalnya adalah tempat menjemur kurma yang dimiliki oleh dua orang anak yatim bernama Sahl dan Suhayl. Pembinaan masjid ini turut menyaksikan penglibatan Nabi Muhammad s.a.w apabila baginda bersama-sama mengangkut labin (Batu-bata) yang digunakan untuk membina bangunan masjid. Atap masjid pula dibuat daripada daun pelepah tamar dan tiangnya dari pelepah tamar yang keras (Roziah Sidek, 2002: 145).
Masjid ini menjadi pusat kepada segala aktiviti umat lslam pada masa itu. Masjid yang di bina telah dijadikan sebagai pusat pengajian lslam yang dipimpin secara langsung oleh Nabi s.a.w yang diberi nama al-Suffah.

Al-Suffah ketika itu menjadi Pusat Dakwah dibina dengan tujuan untuk melatih para pendakwah yang nantinya akan menjadi mujahid dakwah di pelbagai kawasan yang telah menerima lslam. Nabi s.a.w sendiri sebagai tenaga pengajarnya. di samping itu di bantu oleh sahabat-sahabat yang dianggap lebih senior yang juga mendapat pendidikan secara langsung dari Nabi s.a.w. Di antara mereka yang menjadi pembantu Nabi s.a.w sebagai tenaga pengajar ialah Abdullah bin Said bin al-As, Ubaidah bin Samit, Ubaydah bin Kaab dan lain-lain. Bahkan di antara pengajarnya adalah tawanan Perang Badr yang mempunyai kepakaran tertentu yang dijadikannya sebagai tebusan (Syamsul Bahri Andi Galigo, 1998:29).

Kesungguhan Nabi Muhammad s.a.w membina masjid ini bukan semata-mata ingin mewujudkan satu tempat yang khusus untuk ibadat sahaja. Sebenarnya masjid ini juga turut dijadikan sebagai tempat umat Islam menerima ajaran Islam, tempat pertemuan umat Islam, tempat mengatur urusan pentadbiran, tempat tinggal golongan yang tidak mampu, tempat membincangkan strategi peperangan, tempat bermesyuarat dan tempat menerima perwakilan asing.

2. Mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar
Nabi Muhammad s.a.w memandang penting aspek persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar. Ia merupakan satu manifestasi keadilan Islam dari segi akhlak kemanusiaan. Satu hal yang perlu dilihat di sini ialah Muhajirin menghadapi masalah persoalan ekonomi dan sosial. Mereka tiba di Madinah tanpa memiliki apa-apa harta. Penghijrahan golongan Muhajirin boleh melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi di Yathrib. Namun ia agak susah untuk dilakukan memandangkan kegiatan ekonomi di Yathrib lebih berasaskan pertanian dan penternakan. Ini jelas sekali berbeza dengan kegiatan ekonomi mereka di Makkah sebelum ini yang lebih tertumpu pada kegiatan perdagangan. Nabi Muhammad s.a.w sedar bahawa keadaan golongan Muhajirin ini boleh dibantu oleh golongan Ansar yang kaya dengan hasil pertanian, harta dan pertukangan mereka (Roziah Sidek, 2002:146).

Sorotan ke atas sirah Nabi Muhammad s.a.w membuktikan bahawa golongan Ansar benar-benar memperlihatkan contoh pengorbanan yang amat mulia. Antara bentuk pengorbanan dan bantuan Ansar ialah mereka mencadangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w agar membahagikan pokok kurma mereka kepada golongan Muhajirin. Namun Nabi Muhammad s.a.w menyarankan agar pokok kurma itu diusahakan oleh golongan Ansar dan mereka boleh membahagikan hasilnya kepada golongan Muhajirin. Alasan yang Nabi Muhammad s.a.w berikan ialah tenaga golongan Muhajirin lebih diperlukan untuk dakwah dan jihad.

Golongan Ansar ini juga dikatakan sanggup menawarkan salah seorang isteri mereka kepada golongan Muhajirin. Ini berlaku antar Sa’d bin al-Rabi’ dari golongan Ansar dengan Abd Rahman bin’Awf dari golongan Muhajirin. Sa’d dilaporkan mempunyai dua orang isteri dan beliau menawarkan salah seorang dari isterinya kepada Abd Rahman bin ‘Awf dan Abd Rahman bin ‘Awf sendiri membuat pilihan yang mana satu lebih disukainya. Walaupun golongan Ansar ternyata menawarkan bantuan yang tidak bernilai harganya, ini tidak bermakna golongan Muhajirin tidak berusaha langsung.

Menurut catatan Ibn Sa’d dan al-Baladhuri persaudaraan ini terjalin antara 90 orang iaitu 45 dari golongan Muhajirin dan 45 dari golongan Ansar. Persaudaraan ini memberi hak untuk tolong-menolong antara kedua-dua golongan. Sebagai contoh, dalam menyelesaikan masalah kehidupan sama ada pertolongan berbentuk kebendaan atau nasihat sehingga membenarkan mereka saling mewarisi harta walaupun tidak mempunyai hubungan kekeluargaan. Namun hak perwarisan harta terbatal dengan turunnya ayat 75 surah al-Anfal. Walau bagaimanapun, Ibn ‘Abbas melaporkan bahawa hak dalam bentuk bantuan, pertolongan dan nasihat masih kekal (Roziah Sidek, 2002:147).

3. Sahifah Madinah (Piagam Madinah)
Tiada tarikh yang tepat diberikan oleh sejarawan mengenai pengisytiharan Sahifah Madinah. Namun Kattani, Wellhausen dan Watt menyebut bahawa perjanjian itu diisytiharkan sebelum berlaku peperangan Badr. Manakala Hubert Grimme dan beberapa orang penulis lain berpendapat ia diisytiharkan selepas peperangan Badr. Ibn Ishaq sendiri dalam tulisannya meletakkan cerita mengenai Sahifah Madinah ini lebih awal dari peristiwa persaudaraan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar (Roziah Sidek, 2002:149).

Piagam Madinah ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama meliputi fasal 1 hingga fasal 23 yang menggariskan peraturan mengenai golongan Muhajirin dan Ansar. Manakala bahagian kedua pula meliputi fasal 24 hingga 47 membincangkan hak dan tanggungjawab kabilah Yahudi di Madinah. Secara umumnya, piagam ini mengandungi prinsip-prinsip berikut:

a. Piagam itu tertulis. Justeru itu, ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama dalam sejarah dunia.

b. Piagam itu adalah satu perjanjian masyarakat antara golongan Muhajirin dan golongan Ansar.

c. Pembentukan ummah yang ditegaskan dalam fasal 1 bertujuan untuk membentuk satu masyarakat baru dalam negara Islam yang baru didirikan. Kepentingan prinsip ini begitu ketara kerana ia menghimpunkan antara golongan Muslim dengan golongan Yahudi dan golongan-golongan lain di dalam masyarakat baru sebagai warganegaranya. Masyarakat baru ini adalah masyarakat yang mempunyai undang-undang yang hidupnya teratur diasuh jiwa raganya serta yang diatur langkah dan cara pergaulannya.

d. Cita-cita kenegaraan yang terdapat dalam bahagian awal Piagam Madinah jelas menggambarkan ideologi Islam dalam membentuk sesebuah negara.

e. Pengakuan hak asasi manusia meliputi pengakuan tentang cara hidup, adat istiadat dan kebebasan mereka. Ini jelas digambarkan dalam fasal 2 hingga 10. Begitu juga dengan hak-hak politik seperti yang terkandung dalam fasal 16 hingga 23.

f. Disiplin dan semangat setia kawan dianjurkan seperti yang terdapat dalam fasal 11 hingga 15.

g. Pengakuan tentang hak-hak minoriti golongan Yahudi seperti dalam fasal 25 hingga 35.

h. Pengakuan adanya pemimpin negara yang harus dipatuhi segala perintahnya. Beliau bertanggungjawab menentukan haluan politik negara dan beliau juga menjadi tempat merujuk segala persoalan. Ini jelas disebut dalam fasal 36 dan fasal 42. Prinsip ini secara tidak langsung menegaskan kewujudan seorang penguasa negara yang mewakili seluruh umat iaitu Nabi Muhammad s.a.w

i. Kewajipan mempertahankan negara seperti yang ditegaskan dalam fasal 39.

j. Politik perdamaian dijadikan sebagai haluan negara yang dipegang teguh seperti yang terkandung dalam fasal 45.

4. Dar al-Qurra
Ia adalah rumah Malik bin Naufal yang sengaja dikhususkan sebagai tempat berkumpulnya para sahabat yang berminat menghafal dan membaca ayat-ayat al-Quran . Walaupun ada riwayat lain yang menyatakan bahawa Dar al-Qurra ini bertindak sebagai asrama pelatih yang tidak dapat ditampung di al-Suffah, tetapi tempat belajar mereka tetap di Pusat Dakwah al-Suffah.

5. Kuttab
Institusi ini berupa tempat pengajian bagi kanak-kanak lslam yang memerlukan pentarbiahan, terutama bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bacaan al-Quran. Abdullah bin Masud menyatakan bahawa beliau bersama Zaid bin thabit pernah belajar al-Quran sebanyak 70 surah secara talaqqi di hadapan Nabi s.a.w di kuttab, sewaktu ia masih kecil.

6. Rumah Para Sahabat Rasulullah
Para sahabat Rasulullah juga menjadikan tempat tinggal mereka sebagai tempat mempelajari lslam. Kebiasaannya jika Nabi menerima tetamu dari luar, mereka akan ditumpangkan di rumah sahabat yang mempunyai kemampuan. Peluang seperti ini tidak dilepaskan oleh sahabat berkenaan. Mereka memberi bimbingan dan mauizah kepada tetamu tersebut bagi tujuan meyakinkan kebenaran lslam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Ketika Nabi didatangi tetamu dari kabilah Abdul Qais, mereka tinggal di Madinah selama sepuluh hari. Ketua kumpulannya, Abdullah al-Ashajj sengaja ditumpangkan di rumah Ramlah binti al-Harith, sementara yang lainnya ditempatkan di rumah beberapa sahabat dari kalangan Ansar. Ketua kumpulan, Abdullah selalu bersama Nabi s.a.w dan bertanya tentang lslam dan ajarannya, sementara tetamu yang lain ikut belajar kepada sahabat-sahabat.

Demikianlah kita lihat peranan pendidikan yang dikembangkan oleh Nabi s.a.w pada masa hidupnya, di mana ia merupakan aspek penting yang mesti wujud dalam masyarakat lslam.


3.2 Manhaj al-Mursalah

Baginda s.a.w bukan sahaja berdakwah dengan menggunakan ucapan, bahkan baginda s.a.w menyampaikan mesej dakwah dengan tulisan yang ditulis oleh para sahabatnya. Kebanyakan surat-surat baginda s.a.w dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu (Syamsul Bahri Andi Galigo, 1998:36):

a. Seruan yang berisi seruan dan ajakan untuk memeluk Islam. Surat seperti ini biasanya baginda s.a.w tujukan kepada non-muslim seperti orang Yahudi, Kristian, Majusi dan Musyrikin.

b. Surat yang berisi ajaran Islam yang berkaitan dengan panduan yang diperlukan oleh masyarakat Islam. Biasanya surat ini ditujukan kepada orang Islam yang ingin mengetahui sesuatu perkara dalam Islam.

c. Surat yang berisi panduan Islam bagi non-muslim yang berada di bawah pemerintah Islam. Ia khusus untuk mereka yang ingin berdamai dengan umat Islam.

Kebanyakan surat yang dihantar oleh baginda s.a.w kepada pemimpin-pemimpin negara lain untuk menyeru mereka kepada Islam. Sebagai contoh baginda s.a.w telah menghantar para utusannya kepada raja-raja yang berjiran seperti Habsyah, Mesir, Parsi dan Rome. Menurut Abd Ghafar Aziz (1983) baginda mempunyai 42 orang kakitangan yang bertanggungjawab menyediakan surat serta menterjemahkannya, termasuk Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Muawiyah, Ibn ‘As, Khalid bin Walid dan lain-lain. Pemindahan maklumat dari datu generasi ke generasi yang lain banyak dimanfaatkan dengan kaedah tulisan ini dalam penyebaran dakwah Islamiah.


3.3 Manhaj al-Bi’thiyah

Ia merujuk kepada pengiriman mujahid dakwah ke pelbagai daerah di luar tempat Nabi s.a.w bermastautin. Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan tarbiah Nabi s.a.w bagi mempersiapkan para da’i yang profesional yang telah menjalani latihan yang dibimbing oleh Nabi s.a.w secara langsung (Syamsul Bahri Andi Galigo, 1998:33).

Pada tahun 4 Hijrah, Nabi s.a.w telah menghantar tenaga ke negeri Najd di atas permintaan seorang penduduknya yang bernama Amir bin Malik. Para pendakwah seramai tujuh puluh orang sahabat yang dihantar itu diketuai oleh al-Mundhir bin Amr. Walaupun misi dakwah itu menghadapi cabaran hebat dari penguasa Negeri itu, iaitu Amir Bin Tufayl, yang akhirnya mencetuskan tragedi yang dikenali sebagai Bir Maunah dengan pembunuhan tenaga dai yang dihantar itu. Yang masih hidup hanyalah seorang iaitu Amr bin Umayyah yang segera menyampaikan peristiwa itu kepada Nabi s.a.w. Dengan sebab itulah Nabi s.a.w melakukan doa qunut nazilah selama sebulan bagi mengutuk perbuatan keji itu.

Pada tahun ke-7 Hijrah Nabi s.a.w menghantar sejumlah pendakwah ke Khaibar, di utara Madinah, yang dipimpin oleh Ali bin Abi Talib. Wasiat Nabi s.a.w kepada misi dakwah ini adalah (Syamsul Bahri Andi Galogo, 1998:34):
Jalankanlah tugas mulia dengan penuh ketenangan dan bertanggungjawab. Apabila kamu sampai di halaman rumah mereka, ajaklah mereka masuk lslam, beritahulah mereka tentang tanggungjawab yang mesti dikerjakan . Demi Allah, usaha yang menyebabkan Allah membuka pintu hidayah kepada seorang sahaja, lebih baik bagi kamu daripada memiliki unta yang berwarna merah.

Nabi s.a.w juga telah menghantar sahabat-sahabat ke Yaman. Di antara sahabat yang di hantar dalam misi dakwah ini ialah Abu Musa al-Asyari, Muadh bin Jabal, Ali bin Abi Talib, Khalid bin al-Walid, al-Barra’ bin Azib. Mengikut keterangan al-Barra’ bahawa beliau bersama Khalid bin Walid dan lain-lain sahabat telah dihantar oleh Nabi s.a.w untuk berdakwah ke Yaman. Mereka telah menjalankan aktiviti dakwah di Yaman selama enam bulan, tetapi tiada seorang pun yang masuk lslam. Kemudian Nabi s.a.w mengirim Ali bin Abi Talib, ketika Ali bin Abi Talib bersamanya, mereka telah mendatangi kabilah Hamdan dan berjaya memasukkan mereka dalam lslam. Setelah berita ini sampai kepada Nabi s.a.w melalui surat Ali bin Abi Talib. Nabi pun terus bersujud syukur dan setelah bangun Nabi s.a.w mengucapkan : al-Salam ‘ala Hamdan, al-Salam ‘ala Hamdan’ (Syamsul Bahri Andi Galigo, 1998:35).

Nabi s.a.w pernah dikunjungi oleh warga Najran yang beragama Kristian, mereka telah memohon kepada Nabi s.a.w agar dikirimkan pendakwah yang amanah yang boleh mengajar tentang lslam. Nabi pun memanggil Abu Ubaaydah bin al-Jarrah untuk dikirim ke sana bagi tujuan dakwah. Demikian juga Khalid bin Walid pada tahun 10 Hijrah pernah dikirim ke Yaman untuk berdakwah dan berjaya mengislamkan semua warga kabilah Bani Harth di sana.

Setelah Makkah dibebaskan dari kuasa kaum Musrikin pada tahun 8 Hijrah. Nabi s.a.w telah menghantar Muadh bin Jabal sebagai pendakwah tetap di Mekah bagi mengajak mereka yang belum lslam untuk masuk lslam dan mengajar al-Quran dan ajaran lslam kepada mereka yang sudah masuk lslam.

3.4 Manhaj Jihad

Metod Jihad ini sangat berkesan terutamanya memberi tarikan kepada orang bukan lslam tentang lslam. Kemenangan orang lslam dalam peperangan Badar, merupakan satu pengumuman yang jelas kepada umum tentang agama yang baru dan suatu deklarasi Ilahi yang meluas tentang nabi terakhir. Ia juga memberitahu kepada orang bukan lslam bahawa mereka tidak mungkin mengalahkan agama yang baru ini dan rasulnya dengan cara-cara yang telah dilakukan itu. Kemenangan-kemenangan yang dicapai oleh orang-orang lslam dalam peperangan-peperangan dengan orang bukan lslam mempunyai kesan yang besar untuk membawa orang-orang bukan lslam masuk lslam.

Langkah mewajibkan jihad perang untuk melahirkan kekuatan masyarakat lslam. Jihad perang dalam lslam mempunyai cara dan matlamat yang tersendiri. Ia berbeza dengan peperangan yang berlaku di dalam tamadun-tamadun yang lain. Tujuan di sebaliknya adalah untuk menghapuskan kezaliman, ia adalah untuk tujuan dakwah, kerana ia satu cara dakwah,sebagaimana penjelasan Allah dalam surah al-Haj ayat 39-40, Maksudnya:
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).(39) Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;(40)


Keadaan tersebut dapat dilihat pada peperangan yang berlaku di antara orang lslam dengan orang yang bukan lslam selepas Hijrah Nabi sehingga membawa kepada Pembukaan Mekah. Dengan sebab wujudnya kekuatan di pihak orang lslam yang selalunya menang dalam peperangan yang diharunginya, orang-orang Arab diseluruh Semenanjung Tanah arab mengakui kekuatan orang lslam dan kelemahan mereka. Dengan pengakuan ini, mereka mengiktiraf lslam dan memeluknya beramai-ramai.

3.5 Kesimpulan Manhaj-Manhaj Dakwah Nabi Muhammad S.A.W Di Madinah

Manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w boleh disimpulkan sebagaimana berikut (Ab. Aziz Mohd Zin, 2001:57-64):

1. Banyak tertumpu kepada hukum hakam Allah dan tanggungjawab individu untuk membina sebuah masyarakat lslam yang mulia. Keadaan ini dapat dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Madinah yang banyak menerangkan tentang dialog dengan Ahli Kitab, hukum-hukum untuk amalan di dalam ibadat khusus, muamalat secara peribadi dan masyarakat, siasah dan peperangan, mendirikan kerajaan dan tasri’ secara umum. Sebagai contoh dalam hal perintah puasa, Allah (SWT) menjelaskan, Maksudnya;
Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.(Surah al-Baqarah:183)


Ayat tersebut menjelaskan kewajipan berpuasa ke atas orang lslam dan ia bermula pada tahun kedua Hijrah. Mengenai arak dan sesetengah perbuatan buruk yang lain Allah menjelaskan, Maksudnya;
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.(Surah al-Maidah:90)


Ayat tersebut menjelaskan tegahan dan larangan ke atas perkara keji iaitu arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib. Arak sendiri ditegah menggunakannya pada tahun ketiga Hijrah. Dalam hal supaya setiap orang lslam berpegang kepada agama Allah dan bersatu padu, Allah berfirman, Maksudnya;
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (Surah al-Maidah:103)

Masyarakat lslam ialah masyarakat yang bersatu padu. Untuk membina masyarakat tersebut Allah mengingatkan seluruh orang lslam tidak berpecah antara satu sama lain yang boleh merosakkan dengan cara berpegang teguh dengan agama Allah.


2. Saluran masjid melalui khutbah Jumaat dan syarahan umum. Sembahyang Jumaat tidak diadakan di Makkah, kerana kekuatan orang lslam belum ada. Sembahyang Jumaat dilakukan di Madinah, malah ia dilakukan sebelum Hijrah Nabi s.a.w. Melalui khutbah yang menjadi syarat kepada sembahyang Jumaat, orang lslam dapat mendengar penerangan lslam secara terbuka dan berjumpa antara satu sama lain pada setiap minggu. Di samping itu ucapan-ucapan lain turut disampaikan di masjid. Masjid menjadi tempat yang penting bagi masyarakat lslam pada bila-bila masa.

3. Penghantaran wakil, sama ada dengan permintaan atau tanpa permintaan. Hasilnya, ramai orang telah memeluk lslam sehingga dengan itu lslam diketahui merata-rata.

4. Rombongan dan utusan dari satu-satu suku kaum. Dengan tersebarnya berita tentang kekuatan masyarakat lslam yang baru lahir, iaitu setelah dapat mengalahkan tentera kafir Quraish di Badar, dekat dengan Madinah yang berlaku pada tahun kedua Hijrah. Maka datanglah perutusan dan rombongan ke Madinah untuk mengetahui keadaan sebenar mengenai masyarakat yang baru lahir itu. Di samping itu, rombongan ini juga hasil dari pemergian wakil-wakil ke sesetengah untuk mengajar tentang lslam dan menambah lagi pengetahuan mereka tentang lslam yang baru dianuti itu. Nabi s.a.w menerima bermacam-macam rombongan sehingga pada tahun kesembilan Hijrah, dinamakan Tahun Pengutusan.

5. Menggunakan tulisan yang berbentuk surat dan perutusan. Surat-surat ini banyak dihantar, terutamanya kepada pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua untuk menerangkan tentang lslam.

6. Dakwah di Madinah adalah kesinambungan dengan apa yang telah dilakukan semasa di Makkah. Metode Perbandingan semasa di Madinah yang digunakan oleh Nabi s.a.w. Dalam surah al-Jumuat ayat 5, Maksudnya:
Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan Dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang di tanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bandela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.(Surah al-Jumuat:5)

7. Langkah menyatupadukan masyarakat untuk dilahirkan sebuah masyarakat contoh. Perkara yang mula-mula dilakukan oleh Nabi s.a.w ialah mendirikan masjid. Pembinaan masjid bertujuan untuk dijadikan tempat mesyuarat, perhimpunan untuk mengajar urusan berkait dengan akhirat dan dunia, tempat perbicaraan untuk menyelesaikan masalah dan menjatuhkan hukuman, tempat perlindungan sementara bagi orang musafir dan tempat sembahyang. Masjid menjadi pusat kepada kehidupan masyarakat lslam. Situasi ini menjadikan masyarakat lslam tersusun dalam mengurus segala kepentingannya bagi menuju kepada kekuatan dan kemuliaan.

8. Selain itu Nabi s.a.w telah mengambil langkah mempersaudarakan Muhajirin yang berasal dari Makkah dengan Ansar anak tempatan Madinah. Persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, supaya orang-orang lslam terus berada dalam satu barisan yang kuat, yang setiap anggotanya mempunyai perasaan terhadap saudaranya yang lain, yang menjadi asas utama kepada kekuatan orang lslam.


9. Nabi s.a.w juga telah mengadakan perjanjian dengan penduduk Madinah, khususnya antara orang lslam dengan orang Yahudi. Perjanjian ini diadakan adalah untuk saling bantu membantu dan hormat menghormati serta saling mempertahankan Madinah daripada sebarang ancaman. Kerana masyarakat lslam yang baru muncul perlu dihindarkan dari sebarang ancaman. Ketika Nabi s.a.w sampai di Madinah, orang Yahudi dan musyrikin telah mendiami Madinah. Nabi s.a.w menerima hakikat ini dan cuba berbaik dengan mereka melalui satu perjanjian bahawa pegangan agama adalah hal masing-masing dan masing-masing tidak boleh menceroboh antara satu sama lain. Dengan keadaan itu, pembinaan masyarakat dapat dilakukan dengan sempurna.

4.0 CABARAN DAKWAH KEPADA MASYARAKAT MASA KINI

Usaha menyampaikan risalah Islam sentiasa menghadapi cabaran, hambatan dan halangan yang biasanya berpunca daripada cabaran dalaman dan luaran. Seorang pendakwah yang matang akan menjadi seorang yang berkredibiliti yang tinggi dalam dakwah. Namun, cabaran-cabaran sebeginilah yang menghasilkan kekuatan dalaman ke arah kelangsungan dakwah Islamiah itu sendiri berdasarkan manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah merupakan perintis dalam ilmu dakwah.

Cabaran pertama ialah keterbatasan ilmu Islam dan ilmu-ilmu kontemporari di kalangan pendakwah oleh sebab tiada kematangan dalam menguasai ilmu-ilmu tersebut, ini akan menyebabkan kekaburan dalam memahami Islam itu sendiri di kalangan umum, khususnya dalam diri pendakwah. Ketepatan pandangan tasawur Islam amat penting dalam setiap anggota masyarakat. Jika berlaku perbezaan, lahirlah golongan yang berbeza dalam pendekatan dakwah Islam. Ada golongan yang menekankan aspek ilmu sahaja tanpa mengambil kira aspek-aspek yang lain kerana mereka beranggapan masalah dakwah Islam dapat diselesaikan dengan kematangan intelektual semata-mata, di samping ada pula yang mengambil berat aspek politik sahaja. Ada juga mereka yang menekankan aspek kerja sosial dan kebajikan dalam tujuan berdakwah. Sebenarnya, Islam memerlukan fahaman yang syumul lagi menyeluruh, baik dalam aspek sosial, kebajikan, politik, ilmu, ekonomi, dan sebagainya. Cabaran seperti ini memerlukan komitmen dan iltizam semua pihak supaya usaha dakwah mendapat kekuatan dan pertolongan dari Allah (SWT).

Cabaran kedua ialah tidak wujud kecenderungan yang bersungguh-sungguh dalam mengisi keilmuan yang mendalam sama ada ilmu Islam atau ilmu kontemporari yang lain. Persepsi umat Islam terhadap ilmu adalah sekitar ilmu-ilmu yang khusus seperti ibadah sahaja. Sebenarnya, dalam mengharungi cabaran persekitaran dalam lingkungan masyarakat yang pelbagai budaya dan gaya hidup, pendakwah mesti menguasai ilmu-ilmu yang lain seperti komunikasi, teknologi maklumat, psikologi, dan sebagainya. Ilmu-ilmu inilah perlu disampaikan dengan ruh Islam dan nilai-nilai Islam perlu diterapkan agar audien atau mad’u dapat melihat Islam dengan lebih jelas lagi dan mengamalkannya.

Cabaran ketiga ialah ketahanan jiwa dan kerohanian juga tidak diambil perhatian secara serius menyebabkan peribadi para pendakwah menjadi lemah apabila berdepan dengan golongan sasaran. Inilah yang membimbangkan dan perlu tindakan dalam diri pendakwah. Kebanyakan para pendakwah hanya tertumpu pada amalan berbentuk kebatinan. Namun, apa yang penting adalah ketahanan jiwa dan kerohanian lagi ampuh yang dapat melawan kemungkaran, kefasikan dengan penuh sabar dan reda kepada Allah (SWT).

Cabaran yang terakhir adalah cabaran medium perhubungan. Para pendakwah harus menggunakan media cetak dan elektronik dalam penyebaran dakwah Islam. Namun, rata-rata yang tertumpu pada syarahan di masjid dan di surau sahaja. Sewajarnya era ICT dan multimedia ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam tujuan meninggikan risalah Islam kepada ummah seluruhnya. Memandangkan pendekatan terkini semakin berkembang dan mengalami perubahan dari hari ke hari, sudah tentu kita memerlukan pendakwah yang mahir dalam ilmu-ilmu tersebut.

Peranan media massa juga tidak kurang pentingnya dalam mencabar dan melemahkan umat Islam. Sistem pengurusan Islam sewajarnya mengkaji sistem yang wujud dalam penyebaran maklumat kerana sistem yang sedia ada sering mengikuti sistem Barat. Sebagai contoh dalam Internet misalnya terlalu banyak informasi yang tidak benar tentang Islam di samping unsur-unsur hendonisme yang menghancurkan. Oleh yang demikian, pendakwah harus mengambil inisiatif dan alternatif dalam mengembalikan media massa sebagai wahana dakwah Islamiah.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya dapat dijelaskan di sini bahawa manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah adalah cetusan dari baginda yang merupakan perintis kepada ilmu dakwah berdasarkan keperluan pada zaman itu. Ini kerana di Madinah mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri dari beberapa etnik dan kabilah yang selalu berbalah antara satu sama lain. Akan tetapi, tidak menjadi masalah kepada para pendakwah untuk menggunakan manhaj-manhaj dakwah Nabi Muhammad s.a.w dalam konteks masa kini. Perlu diingatkan bahawa cabaran pada masa kini lebih hebat berdasarkan apa yang telah dinyatakan. Para pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu, manhaj-manhaj dan medium yang ingin digunakan untuk meneruskan apa yang telah Nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita.

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

MOHON SHARE, TQ, ..

Tanpa Nama berkata...

izinkan saya buat rujukan

About