KE ARAH KECEMERLANGAN KEPIMPINAN MAHASISWA ISLAM

Kecemerlangan (excellence) merupakan suatu aras pencapaian khidmat, kualiti pengeluaran dan sebagainya yang mencecah piawaian tertentu, samada kepuasan pelanggan, pengikut, orang ramai, rakan sekerja, mahupun majikan. Kecemerlangan selalunya dihubungkaitkan dengan nilai-nilai atau traits keperibadian tertentu, atau malah mutu perlaksanaan kerja tertentu yang terbaik dan memuaskan Allah atau manusia pada masa yang tertentu. Pendekata ia merangkumi sejumlah ciri-ciri keunggulan yang mampu dimiliki oleh seseorang, kumpulan atau organisasi. Semua orang ingin memiliki sesuatu yang dapat dibanggakan. Mereka ingin menjadi unggul dalam serba-serbi. Manusia memang makhluk yang ingin mencapai self-actualisation membuktikan kewujudan diri). Ia mahu mendapatkan satu macam kepuasan batin dan penerimaan masyarakat terhadap dirinya.

Di antara yang dicita-citakan oleh manusia ialah suatu keperibadian yang terbaik, terpuji, sempurna dan cemerlang bagi dirinya sendiri. Mereka merasakan keperibadian yang baik dapat membekalkan diri mereka dengan persyaratan-persyaratan kejayaan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Peribadi menentukan nilai diri. Ia lebih penting daripada keturunan, pangkat, dan harta benda. Manusia disanjung lantaran peribadinya yang mulia dan cemerlang bukannya kerana pangkat atau keturunannya semata-mata.

Kecemerlangan, jika dihubungkaitkan dengan kepirnpinan mahasiswa, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai atau standard yang terbaik dan memuaskan para pengikut atau malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan.

Ada beberapa faktor yang menentukan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa. Fakto-faktor tersebut antara lain ialah:

1. Dasar perjuangan yang diredhai Allah

Dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan irnan, Islarn dan ihsan. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'.

Allah berfirman
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah lwn mengkhianati ALlah, Rasul dan apa yang telah diamanahkan kepada kamu; padahal kamu mengetahuinya"
(Surah al-Anfal: ayat 27)

2. Strategi operasi serta gerak kerja yang berkesan.


Perlaksanaan gerak kerja berharakah memerlukan strategi bertindak yang rapi dan teratur Tanpa strategi yang sesuai dengan fiqh al-Muwazanat serta fiqh al-Awlawiyat maka organisasi mahasiswa sukar meraih kecemerlangan seperti yang diidamkan.

Fiqh al-Muwazanat bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih penting diutamakan antara sekian banyak (Masaleh) maslahah (kepentingan), dari sudut kadarnya, pengaruhnya, skop liputannya serta jangka hayatnya

Ia juga bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih buruk padahnya dari sekian banyak keburukan yang ada, mana yang paling mustahak dihindari terlebih dahulu dan mana pula yang boleh dibiarkan seketika. Ia juga bermakna keupayaan membuat tarjihat antara maslahah dan mafsadah apabila kedua-duanya tampil serentak dalam sesuatu isu atau persoalan. Sehinggalah dapat dibuat kesimpulan yang tepat samada diutamakan menghindari mafsadah dari meraih maslahah atau sebaliknya diutamakan meraih maslahah dengan menanggong sedikit kesan dari mafsadah yang berkaitan.

Fiqh al-Aulawiyat bermakna meletakkan sesuatu pada kadar martabatnya. Apa yang patut didahulukan tidak ditangguhkan. Manakala yang patut ditangguhkan tidak didahulukan. Yang besar tidak dianggap kecil, begitu juga sebaliknya.

Amal salih menurut al-Qur'an mempunyai martabat masing-masing. Nilainya tidak semestinya sama. Golongan pemimpin mestilah peka terhadap hal ini.
ALlah berfirman:

"Adakah kalian menyamatarakan (nilai kebaikan) antara orang yang memberi minum orang-orang haji serta memakrnurkan Masjid al-Haram dengan orang-orang yang beriman dengan ALlah, hari akhirat dan mereka berjihad di jaian ALlah. (Sesungguhnya) tidak sama (nilai antara keduanya) di sisi ALlah. ALlah tidak memberi petunjuk terhadap kaurn yang zalirn. Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan ALlah dengan harta dan nyawa mereka di sisi ALlah lebih tinggi darjat mereka dari orang lain. Mereka itulah orang-orang yang berjaya"
(Surah at-Taubah: ayat 19 - 20)

3. Struktur organisasi serta memiliki perlembagaan yang baik

Kejayaan sesuatu organisasi,banyak bergantung kepada strukturnya yang baik. Perkara seperti ini diatur oleh perlembagaannya yang komprehensif di mana agihan kuasa antara lembaga-lembaga yang ada diwujudkan secara yang terbaik. Tidak terjadi perkara-perkara yang menghalang kerja-kerja organisasi.

Perlembagaannya tidak memungkinkan penyelewengan secara berleluasa Mekanisme untuk memperbaiki kelemahan organisasi sentiasa terbuka.

4. Figure kepimpinan yang cekap serta berketrampilan

Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai bebagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang.
Selain daripada beberapa sifat di atas, kepimpinan mahasiswa hendaklah mempunyai ketrampilannya menggarapi aspek-aspek berikut:

a) wawasan politik yang jelas

Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara

b) ketrampilan berkomunikasi, mampu menguasai pelbagai bahasa

Kelompok mahasiswa yang dipimpin kini bukan hanya suatu bangsa. Oleh kerana itu para pimpinan organisasi mahasiswa masa kini perlu menguasai bahasa lingua franca; samada Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Arab, selain daripada bahasa ibundanya. Mereka perlu cemerlang dalam penguasaan mereka terhadap bahasa-bahasa ini. Dengan penguasaan yang cemerlang mereka berupaya menyampaikan mesej secara lebih berkesan dan convincing.

c) ketrampilan moniver

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mereka mustahak menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Mereka perlu berupaya meraih kemenangan melalui laluan sukar dan halangan yang getir.

d) memiliki keperibadian Islam yang baik

Pimpinan mahasiswa Islam yang baik ialah yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

5. Aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif

Pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa sendiri. Ia (pemimpin) mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap jamaah dan sikap ingin melihat jamaah berjaya.

Hubungan timbal balik yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

6. Kelengkapan teknologi yang berkesan

Untuk membayangkan organisasi mahasiswa lengkap dan penuh sarat dengan peralatan teknologi canggih seperti yang dimiliki oleh sektor korporat atau awam yang advance sudah pasti suatu igauan yang indah. Apa yang dimaksudkan ialah, organisasi mahasiswa mempunyai peralatan teknologi yang minima untuk membantunya beroperasi secara berkesan. Sekurang-kurangnya alat komputer, mesin cetak, faks, telefon dan lain-lain yang setaraf dengan tuntutan zaman kini. Kekurangan yang terlalu menjolok dalam hal ini menjauhkan organisasi berkenaan dari tahap cemerlang.

7. Program perkaderan (leadership program) yang berkesan

Suatu mekanisme yang penting dalam memastikan kesinambungan wawasan kepimpinan pelajar dan mahasiswa Islam ialah wujudnya sistem perkaderan yang baik untuk menampilkan pemimpin pelapis yang berwibawa. Pemimpin yang berfikiran kreatif, setia dengan prinsip dan dasar organisasi.

Organisasi mahasiswa yang cemerlang adalah organisasi yang mampu menyediakan golongan pelapis yang competent untuk menggarap cabaran zamannya dan zaman-zaman yang akan datang. Mereka harus berupaya menampilkan golongan pernimpin yang lebih bijak, lebih berketrampilan dan canggih daripada yang ada sekarang. Lumrahnya cabaran masa depan lebih sengit dan gawat berbanding dengan masa kini.

8. Taufiq dan inayah Allah

Seandainya segala keperluan dan prasyarat untuk maju dan cemerlang telah dimiliki maka suatu faktor yang tidak boleh tidak mesti diperolehi oleh organisasi mahasiswa Islam ialah taufik dan inayah Ilahi. Barakah dan limpah kurnia Allah perlu ditagih dengan amalan amalan ibadah, do'a, zikir dan munajat. Hanya dengan limpahan kurnia Allah, keampunan dan restu-Nya, kecemerlangan duniawi akan mempunyai makna yang lebih diyakini. Sebab itu, organisasi mahasiswa Islam semestinya tidak lekang dengan program Qiamullail, khemah ibadah, halaqah zikir dan lain-lain.

Kesemua nilai-nilai di atas jika diadun dengan baik akan menghasilkan kecemerlangan. Apatah lagi dalam persaingan masyarakat yang serba rencam ini kualiti dan kecemerlangan mahasiswa tidak lagi merupakan satu pilihan, tetapi sudah menjadi syarat mutlak untuk survival atau meneruskan kelangsungan perjuangan. Mahasiswa tidak bergerak dalam ruang yang kosong. Mereka dilengkari oleh persekitaran yang mempengaruhi sikap, minat dan peribadi tiap-tiap individu. Justeru itu budaya gerak-kerja mahasiswa harus didasari oleh nilai akhlak dan etika pergerakan yang baik serta berkesan. Dalam hal ini jika mahasiswa terus-terusan berada di takuk lama, tanpa mahu merebut semua peluang meningkat diri secara agresif, sudah pasti mereka akan terus terpinggir.
Read more!
MASYARAKAT PERLU JELAS KONSEP HALAL

Kita selaku umat Islam yang tinggal di sebuah Negara Islam dan mempunyai pemikiran yang maju selaras dengan konsep Islam Hadhari seharusnya tidak boleh mengabaikan konsep halal-haram pemakanan. Meskipun kita mungkin melihat agak remeh untuk memikirkan tentang isu ini, namun apa yang membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang. Memang diketahui umum bahawa iman merupakan teras pembentukan jiwa dan peribadi diri yang suci lagi murni. Oleh itu, adalah amat penting pemakanan halal yang mampu menjana pembikinan muslim yang hakiki dan sempurna dari semua segi keperibadian manusia.

Umat manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168). Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.

Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah:

1. Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.

2. Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat pengiktirafan halal oleh JAKIM.

3. Mereka juga perlu dijelaskan tentang cara pengurusan makanan dan pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat untuk mereka proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan ayam dalam sebuah lori.

4. Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.

5. Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk memasak makanan bagi orang Islam pula.

6. Perkara terakhir yang perlu diberi perhatian adalah dari segi penjagaan kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.

Jika semua konsep asas ini dapat dijelaskan dengan sempurna kepada masyarakat bukan Islam, nescaya tidak akan berlakunya masalah dan kes sosej yang diproses dengan usus khinzir dan kes-kes yang lain. Atas dasar ini, beberapa langkah efektif perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan untuk memastikan masyarakat bukan Islam memahami dengan jelas apa sebenarnya konsep halal-haram pemakanan dalam Islam. Risalah-risalah perlu diedarkan kepada peniaga bukan Islam untuk memberi kefahaman sepernuhnya kepada mereka agar menyedarkan mereka tentang konsep pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga, seminar tentang konsep halal-haram pemakanan menurut Islam perlu dijalankan kepada wakil setiap peniaga restoran dan syarikat pemprosesan makanan di setiap negeri.

Selain itu, pemantaun yang lebih bagi memastikan logo halal yang digunakan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Cadangan logo halal berkonsepkan hologram perlu dipraktikkan dengan serius.Ini kerana dengan cara ini peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih tidak dapat meniru logo halal keluaran JAKIM.

Peniaga yang mendapat kelulusan halal bagi restoran atau bahan makanan keluaran mereka perlu diberi kad kelulusan bercip bagi memudahkan pihak JAKIM melakukan pemeriksaan pada masa akan datang. Kad bercip itu akan mengandungi segala maklumat seperti bahan makanan serta ramuan yang disediakan oleh syarikat atau peniaga tersebut begitu juga dengan kaedah pemprosesan bahan makanan keluaran mereka.

Secara ringkasnya, kita inginkan sebuah Negara Islam Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan negara tetapi juga maju dari segi nilai moral dan etika insan yang berusaha untuk memajukannya.Ini bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang sering dikatakan oleh kerajaan iaitu maju dari segi pembangunan seiring dengan kemajuan sahsiah diri masyarakatnya. Perlu diingat bahawa usaha menyedarkan konsep halal perlu diperluaskan lagi skopnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kita selaku masyarakat Islam perlu memperjelaskan isu halal ini kepada masyarakat bukan Islam.

Masyarakat yang maju adalah yang maju dari semua segi bukan sahaja dari segi pembangunan material sahaja tetapi dari segi kemajuan insani yang jitu dan mapan. Atas dasar itulah pemakanan yang sempurna dan halal mengikut kehendak syarak membawa kepada keutuhan iman dan kegemilangan sesebuah bangsa itu.
Read more!
WAJARKAH PENGURUSAN JENAZAH DIKOMERSILKAN

Hari ini masyarakat kita semakin maju dan moden, terlalu sibuk dengan tugas dan aktiviti masing-masing sehingga lupa kepada aktiviti kemasyarakatan yang biasa dilakukan secara sukarela dan gotong-royong . Boleh dikatakan pada hari ini semua kerja dilakukan secara upah bukan dilakukan secara percuma dan seikhlas hati sehingga hal menguruskan jenazah.

Sebenarnya inilah antara gambaran masyarakat Islam pada masa kini yang semakin terhakis sifat-sifat tanggungjawab mereka (Fardhu Kifayah), hilang keprihatinan dalam menjalani hidup berkomuniti dan hilan sifat kejiranan.

Membantu menguruskan jenazah secara sukarela pastinya akan mengurangkan beban dan dukacita yang sedang melanda seluarga si mati. Justeru itu, sesuailah apa yang Islam tetapkan bahawa menguruskan jenazah merupakan tuntutan Fardhu Kifayah iaitu dengan sebab adanya sebahagian umat Islam datang membantu melaksanakan tanggungjawab tersebut maka yang lain akan terlepas daripada dosa dan jika tiada seorang pun yang melaksanakan kewajipan tersebut, maka seluruh umat Islam dalam kawasan tersebut akan menanggung dosa.

Secara umunya, pengurusan jenazah seperti sembahyang jenazah, mandi, kapan dan mengusung jenazah memerlukan kos yang bukan sedikit jika dikomersilkan. Lebih menyulit lagi, jika waris yang ditinggalkan itu adalah seorang balu yang tidak bekerja atau anak-anak yatim. Wajarkah mereka perlu memikirkan soal kos sedimikian?

Namun hari ini telah ada usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut apabila kebanyakkan kampong dan taman-taman perumahan telah mengambil inisiatif mewujudkan skim tabung khairat kematian yang bertujuan membantu mengurangkan beban tanggungan menguruskan jenazah di kawasan masing-masing terutama sekali bagi keluarga yang miskin.

Memandangkan ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah dan sukarnya mendapatkan khidmat orang yang menguruskan jenazah pada sesuatu masa maka wujudlah pada zaman ini orang yang menjadikan urusan pengendalian jenazah sebagai satu bisnes. Mereka dikenali sebagai ‘ulat mayat’ yang mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap nasib malang yang menimpa keluarga si mati. Tidak salah menggunakan khidmat mereka tetapi awas kerana mereka kemungkinan berlaku penipuan sama ada ‘broker’ terbabit tidak arif atau tiada tauliah dalam pengurusan jenazah.

Justeru, sebelum terlambat, selok-belok ilmu mengurskan jenazah mesti dipelajari, sekurang-kurangnya untuk persediaan menghadapi kematian ibu bapa atau ahli keluarga sendiri. Ini adalah lebih baik kerana orang yang paling berhak dan lebih afhdhal untuk menguruskan jenazah sebenarnya adalah dari kalangan keluarga si mati. Jika tidak berkemampuan, barulah boleh mendapatkan bantuan orang lain seperti imam atau bilal di kawasan tersebut.
Read more!
DASAR PENERAPAN NILAI-NILAI ISLAM

Di dalam Perlembagaan Malaysia, Islam ialah agama rasmi Negara dan hak mengendalikan hal ehwal Islam diberikan kepada Raja-raja dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Sungguhpun demikian, penganut-penganut agama lain adalah bebas mengamalkan agama masing-masing.

Penglibatan Raja-raja, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam bidang ini bermula sebelum merdeka lagi. Antara aktiviti dan program penting yang dikelolakan oleh mereka termasuklah sistem sekolah agama, sistem undang-undang mahkamah syariah, pembinaan surau dan masjid, pungutan dan pengurusan zakat fitrah dan Baitulmal. Dalam tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, aktiviti dan program ini telah dipergiat dan ditambah pula dengan perkara-perkara baru, antaranya termasuklah tilawah Al-Quran yang telah mengharumkan nama negara di kalangan negara-negara Islam.

Sementara langkah-langkah ini sedang dikelolakan, dunia Islam sejagat telah bangun semula, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkannya dalam hal ehwal negara dan peribadi. Kesedaran baru ini, yang menjadi ketara dalam dekad tujuh puluhan, juga dirasai di Malaysia. Dalam keadaan ini, Kerajaan Persekutuan sendiri telah terdorong untuk meluas dan mengukuhkan programnya mengenai hal ehwal Islam. Sehubungan dengan ini, usaha-usaha baru telah diambil, antaranya termasuklah penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan usaha-usaha ini, satu lagi usaha yang dipanggil 'Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran' telah diperkenalkan pada tahun 1985.

Rasional

Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran adalah sebahagian daripada pelbagai usaha Kerajaan Malaysia untuk memasukkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Malaysia. Rasional Kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai khususnya nilai-nilai Islam ialah:

Dalam usaha untuk memelihara maruah Warganegara Malaysia, maka perlulah ia mempunyai satu identiti yang kukuh. Dalam konteks ini, unsur yang terpenting sekali dalam pembentukan identiti Warganegara Malaysia ialah nilai. Ia merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh.

Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama dan menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal ini rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan rakyat Malaysia serta identitinya sebagai satu warganegara akan menjadi kabur dan maruah bangsa tidak dijunjung tinggi dan mungkin mereka akan memperkecil-kecilkan negara dan bangsa sendiri. Dengan itu rakyat Malaysia haruslah mempunyai identitinya sendiri dengan setiap individu, organisasi dan semua sektor yang melaksanakan pelbagai aktiviti menjalankan kerja yang boleh memberikan sumbangan kepada kesejahteraan negara. Urusan-urusan yang dijalankan dengan penuh rapi, teliti, amanah dan rasa bertanggungjawab boleh membawa kepada pembentukan identiti yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti Malaysia ini. Tanpa penerimaan nilai-nilai hidup yang mulia tidak mungkin identiti yang membanggakan dapat dicapai.

Sebagaimana yang sedia dimaklumi 'identiti' tidak boleh pisahkan daripada nilai. Persoalannya ialah; "Apakah nilai yang boleh digunakan bagi mengukuhkan sesuatu identiti?" Ramai yang berpendapat masalah nilai lebih sesuai diserahkan kepada individu-individu dan komuniti-komuniti yang berkenaan untuk menentukannya. Tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia akan berakhir dengan kekeliruan yang berterusan di dalam masyarakat. Oleh itu adalah sangat wajar sekiranya dijelaskan secara langsung nilai yang perlu diterima dan diterapkan dalam masyarakat. Bagi masyarakat Malaysia adalah tepat sekiranya nilai itu diasaskan kepada kehendak dan pengajaran Islam bagi membentuk sebuah negara yang produktif dan bermoral tinggi. Mungkin pada awalnya ia akan dipersoalkan menerusi kacamata agama atau budaya lain kerana memilih nilai yang diasaskan kepada satu agama sahaja. Tetapi dengan merenung kembali dan memahami negara Malaysia itu sendiri, setiap rakyat akan mendapati dan menyedari bahawa langkah untuk memilih nilai Islam itu adalah langkah yang wajar. Sebaliknya pula mereka yang tidak memahami tentang kedudukan Negara Malaysia dari segi geografi, sejarah, kebudayaan, perlembagaan dan lain-lainnya akan terus mempertikaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, setelah melihat secara objektif, maka tidak akan ada satu sebab pun untuk menolak bahawa nilai yang berasaskan kepada agama Islam itu ialah yang paling sesuai untuk membangunkan masyarakat Malaysia umumnya. Nilai-nilai Islam itu boleh menjadi penggerak ke arah membanteras unsur-unsur keburukan yang menjadi musuh utama negara ini seperti fahaman komunis, kemiskinan, rasuah, kecuaian, kejahilan, penyelewengan dan sebagainya yang sentiasa mengancam usaha-usaha perpaduan rakyat dan pembangunan negara.

Al-Quran juga telah menamakan agama Islam sebagai agama yang bernilai. Penamaan ini memberikan keyakinan kepada semua orang bahawa kandungan yang terdapat di dalam kitab suci Al-Quran itu adalah merupakan nilai-nilai yang mulia kerana ia merupakan bimbingan-bimbingan (hidayah) yang datang daripada Allah s.w.t. dan ditujukan kepada semua manusia, bukan sahaja kepada yang beragama Islam. Di antara bimbingan-bimbingan yang terpenting ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan moral (akhlak). Ini bererti bahawa apa yang dimaksudkan dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran ialah bimbingan pembentukan akhlak yang berfaedah dan berfungsi dalam kehidupan setiap rakyat menuju ke arah ketinggian maruah di samping menanam nilai-nilai yang murni dan membina ke dalam sistem pentadbiran negara.

Pemilihan pentadbiran negara sebagai komponen yang pertama dalam penerapan nilai-nilai Islam adalah antara lain berasaskan tanggungjawab Kerajaan memastikan kelicinan jentera pentadbiran Kerajaan yang merupakan saluran terpenting dalam pelaksanaan sesuatu dasar. Kejayaan rancangan-rancangan yang diatur oleh Kerajaan sebahagian besarnya bergantung kepada penjawat-penjawat dalam perkhidmatan awam. Penghayatan nilai-nilai Islam oleh mereka akan menjamin kelancaran dan kecekapan jentera Kerajaan yang besar dan menghindarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Bagi menjayakan pentadbiran Kerajaan, nilai-nilai Islam yang diutamakan boleh diamalkan oleh semua rakyat Malaysia, sama ada mereka Islam atau bukan Islam. Menurut YAB. Perdana Menteri, nilai-nilai yang diutamakan untuk pentadbiran yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam ialah amanah kejujuran, tanggungjawab, rajin, ikhlas, tertib, disiplin, mengutamakan masyarakat lebih daripada diri sendiri, sanggup berkorban, tidak tamak, berpandangan jauh, bermoral dan berkelakuan baik dan lain-lain.

Objektif

Objektif dasar ini adalah seperti berikut:

(i) Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti
kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;
(ii) Menubuhkan sebuah 'negara bahagia';
(iii) Menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang
dipertanggungjawabkan; dan
(iv) Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.

Berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.

Nilai-nilai Islam

Hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut ialah:

Amanah;
Tanggungjawab;
Ikhlas;
Dedikasi;
Sederhana;
Tekun;
Bersih;
Berdisiplin;
Bekerjasama;
Berbudi Mulia; dan
Bersyukur.

Sebelas nilai ini dipilih kerana ia merupakan unsur-unsur yang boleh diterima sebagai kunci kepada kejayaan dalam menjalankan urusan-urusan kehidupan terutamanya dalam pentadbiran sesebuah negara.

Bagaimanakah nilai-nilai Islam ini boleh dihayati? Berikut ialah takrif/pandangan mengenai sikap dan budaya kerja berdasarkan nilai-nilai Islam yang ingin diterapkan ke dalam pentadbiran awam.

Amanah

(i) Menyedari hakikat bahawa tugas adalah amanah yang perlu
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya;
(ii) Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi
menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan;
(iii) Menghindarkan dengan rela hati kepentingan diri dari mengatasi
kepentingan tugas;
(iv) Menentukan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi
masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja; dan
(v) Mengutamakan kepentingan awam sebagai teras perkhidmatan.

Tanggungjawab

(i) Menerima hakikat akauntabiliti akhir adalah terhadap Tuhan, di
samping pekerjaan dan majikan;
(ii) Melakukan tugas dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan
buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur;
(iii) Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila sahaja
diperlukan;
(iv) Bercita-cita untuk tidak mengkhianati kepentingan organisasi/
instutusi/awam dalam menjalankan tugas; dan
(v) Bersedia menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Ikhlas

(i) Berhati mulia dalam melaksanakan tugas tanpa mengharapkan
balasan dari manusia;
(ii) Mempunyai niat bertugas kerana Tuhan, kerana mencari rezeki yang
halal serta mencari keredhaannya; dan
(iii) Mengikis sebarang unsur "kepentingan diri" dalam melaksanakan
tugas sebagai asas pengisian amanah.

Dedikasi

(i) Kesetiaan yang tinggi kepada tujuan organisasi di bawah
peraturan-peraturan yang ada;
(ii) Komited kepada sebarang perubahan yang positif dan kepada
kebaikan;
(iii) Sedia mengubah sikap demi kebaikan bersama dan tugas;
(iv) Sedia memulakan pembaikan; dan
(v) Berinisiatif dan proaktif dalam melaksanakan tugas harian.

Sederhana


(i) Menjamin perseimbangan equilibrium dalam diri dan tugas;
(ii) Keseimbangan dalam membuat keputusan dengan mengambil kira fakta
fakta yang terdapat dalam alam sekitar;
(iii) Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk
membaiki cara bekerja;
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai
tahap cemerlang.

Tekun

(i) Berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan dalam
tugas dan kehidupan;
(ii) Berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi;
(iii) Rajin mempelajari pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan untuk
membaiki cara bekerja;
(iv) Berusaha gigih untuk menghasilkan kerja yang memuaskan pihak-
pihak yang berharap kepadanya; dan
(v) Berusaha gigih bagi memperbaiki hasil kerja sehingga mencapai
tahap cemerlang.

Bersih


(i) Mengamalkan kebersihan hati dalam menjalankan tugas seharian;
(ii) Mengamalkan kebersihan pakaian, bangunan dan alam sekitar
sebagai satu cara hidup;
(iii) Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;
(iv) Membuat pertimbangan yang teliti dan adil dalam membuat
keputusan;
(v) Berkhidmat demi kebajikan semata-mata; dan
(vi) Menjauhi hawa nafsu dan emosi dari mempengaruhi pekerjaan dan
pemikiran dalam membuat keputusan.

Berdisiplin


(i) Mengetahui priority dan mengutamakan yang lebih utama;
(ii) Menilai tinggi masa dan janji;
(iii) Mengamalkan cara bekerja yang kemas dan terancang; dan
(iv) Mempunyai etika kerja dan profesionalisme yang tinggi.

Bekerjasama

(i) Mengamalkan sikap tolong-menolong dalam melaksanakan kerja;
(ii) Sentiasa secara sukarela menyertai aktiviti-aktiviti organisasi
sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkatkan semangat kerjasama.
(iii) Mengutamakan kepentingan organisasi dan pasukan di tempat kerja
daripada kepentingan peribadi;
(iv) Mengamalkan permuafakatan dalam semua perkara kepentingan
bersama; dan
(v) Mengelakkan konflik kepentingan berdasarkan peribadi:
Mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara.

Berbudi Mulia

(i) Bermanis muka sepanjang masa;
(ii) Bertimbang rasa dan bertolak-ansur;
(iii) Menghormati rakan sejawat dan pelanggan/pelawat; dan
(iv) Sentiasa memulakan 'pertanyaan' dengan tujuan untuk menolong
pelanggan/pelawat.

Bersyukur

(i) Bersyukur kerana dapat melakukan tugas untuk menjamin
kesejahteraan hidup sebagai seorang anggota masyarakat;
(ii) Berkecenderungan melihat keadaan dengan lebih positif sehingga
menggerakkan untuk lebih berusaha gigih;
(iii) Menghayati budaya kerja yang bersopan dan tidak bertentangan
dengan kehendak agama (nilai-nilai agama dan kerohanian);
(iv) Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
(v) Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia;
(vi) Berkhidmat sebagai ibadah; dan
(vii) Bercita-cita menjadi manusia yang mempunyai sumbangan yang
banyak kepada masyarkat, negara dan agama.


Penghayatan terhadap nilai-nilai akhlak yang murni dan membina itu akan memudahkan usaha-usaha untuk memajukan berbagai-bagai bidang yang diperlukan oleh sesebuah negara seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, pembangunan, undang
Read more!
PENTINGNYA KHUTBAH JUMAAT

Khutbah Jumaat merupakan satu medium dakwah terpenting pada masa kini. Ini kerana dalam khutbah Jumaat mempunyai unsur-unsur nasihat, peringatan, pengetahuan, pengkajian tentang satu-satu isu atau permasalahan. Sekiranya khutbah Jumaat ini ditulis dan dirangka dengan baik, maka untuk melahirkan umat yang terunggul dan bertamadun berpotensi disamping dengan ibadah-ibadah dan amalan-amalan yang lain. Akan tetapi, kebanyakkan khutbah Jumaat ditulis dan dirangka dengan baik, tetapi ada juga khutbah Jumaat tidak mengandungi isi yang dapat dimanfaatkan oleh makmum atau jemaah. Hal ini kerana ada sesetengah khutbah Jumaat isi kandungannya terlalu mendatar dan ceritanya yang sudah lapok.

Maka demikian juga halnya dengan sebahagian khatib, terutama khatib-khatib di kampung-kampung tidak dapat membaca ayat-ayat al-Quran atau hadis dengan baik. Ini berlaku kerana ada sesetengah dari mereka bukan terpelajar dari sekolah-sekolah arab, sudahlah begitu kertas khutbah Jumaat dibuka ketika sedang duduk azan yang kedua. Fenomena ini berlaku mungkin kerana kecuaian khatib itu sendiri, terlalau sibuk ataupun kerana bahan khutbah Jumaat tersebut lambat sampai ke tangan khatib. Ada juga sesetengah khatib berusaha untuk membaca kalimah-kalimah yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran beberapa kali, dan apabila gagal, dia melompat kepada kalimah-kalimah berikutnya.

Kadang-kadang didapati perkataan yang sukar digunakan dalam khutbah Jumaat, kalimah-kalimah canggih kacukan bahasa Inggeris, menyebabkan khatib mengulanginya beberapa kali dalam usaha menyampaikan mesej yang ingin diterapkan. Jelas sangat kalimah-kalimah seperti itu tidak pernah digunakan oleh khatib itu.

Penulis-penulis khutbah Jumaat pula tidak perlu meletakkan ayat-ayat al-Quran atau hadis-hadis yang terlalu panjang. Ini kerana akan membebankan khatib yang membaca. Dalam masa yang sama perlu disedari kebanyakkan makmum atau jemaah tidak memahami bahasa Arab atau bahasa Inggeris.

Dalam khutbah Jumaat yang memakan masa lebih kurang 20 minit, ada khutbah Jumaat yang mengandungi empat atau lima tajuk di dalamnya, yang menceritakan penderitaan umat Islam di Afghanistan dan Iraq, kepentingan menuntut ilmu seperti yang diajar oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian melompat kepada hadis faedah berbaik-baik dengan jiran, pahala bagi orang yang sabar dan sebagainya. Orang Islam sepatutnya memanfaatkan masa yang diberi untuk mendengar khutbah Jumaat itu sebaik mungkin. Inilah masa yang paling mudah dan sesuai sekali dalam seminggu yang tersedia ada untuk menyalurkan maklumat kepada umat Islam. Inilah hujah utama kenapa khutbah Jumaat itu diperlukan dan bukan semata-mata menjadi salah satu syarat sembahyang Jumaat tersebut.

Hukum mendengar isi khutbah Jumaat itu wajib sebagai syarat sah Jumaat. Hadis Nabi s.a.w “Hendaklah didengar khutbah Jumaat itu oleh 40 orang hadir, biarpun mereka tidak faham apa yang dicakap atau dituturkan oleh khatib, kecuali mereka tidak mendengar kerana pekak.”

Biarpun kefahaman kandungan khutbah Jumaat yang dibaca itu tidak perlu, namun usaha mengaplikasikannya oleh para makmum atau jemaah, penghayatan khutbah itu tetap perlu. Tanpa penghayatannya, maka pengaplikasiannya itu tidak dapat dilaksanakannya.
Read more!

About