1:34 PTG | 0 Comments

KONSEP PEMBERITAAN DALAM ISLAM

1.0 PENDAHULUAN

“Media Islam Dibayangi Sumber Berita Barat” satu tajuk rencana yang disiarkan dalam Sasaran (Disember:1993) yang membincangkan pandangan penulis tentang sebab utama akhbar-akhbar negara Islam bergantung pada agensi-agensi barat. Penulis menegaskan iaitu:
Sebab utama akhbar negara-negara Islam bergantung berita kepada agensi-agensi Barat ialah ‘survival’. Akhbar-akhbar ini perlukan berita dan maklumat mengenai pelbagai perkara dari seluruh pelosok dunia. Pada hari ini belum ada satu pun agensi berita di negara Islam dapat menandingi ‘The Big Four’ yang membekalkan 80 peratus daripada berita dan maklumat yang diperlukan oleh akhbar-akhbar dunia(Mohamad Yusof Husain, 1993:48.)



Perbincangan tentang konsep berita dalam Islam masih merupakan perkara baru dalam di kalangan pengkaji komunikasi. Hasil daripada meningkatnya kesedaran keislaman di kalangan umat Islam pada awal tahun 1970-an, terdapat beberapa intelektual Muslim khususnya yang berusaha memberi semangat baru kepada senario perkembangan ilmu komunikasi dari perspektif Islam. Sayeed al-Seini (1986) mengemukakan secara ringkas konsep berita dalam Islam. Antaranya ialah tegahan daripada menyebarkan berita palsu dan yang bertujuan daripada merosakkan kehidupan masyarakat (Surah al-Hujurat 49:15 ; Surah an-Nur 24:19). Justeru itu, metode untuk menyelidik atau memastikan kesahihan berita perlu dilakukan secara berhati-hati dan kritis. Antara tujuannya adalah supaya tidak menyebarkan keburukan peribadi seseorang. Aspek dokumentasi dan penyaksian juga diberi perhatian penting bagi menjamin berita yang sampai mempunyai tahap kesahihan yang tinggi. Selain itu, pengalaman daripada usaha pengumpulan, penapisan dan penyebaran hadis oleh ulama-ulama hadis menjadi sumber rujukan penting untuk mengendalikan berita dalam Islam (Zulkiple Abd. Ghani, 2001:10).

2.0 PENGERTIAN BERITA

Menurut William S. Maulsby dalam bukunya “Getting The News”, berita merupakan suatu pertuturan secara benar dan tidak memihak dari fakta-fakta yang mempunyai erti penting yang terjadi, yang dapat menarik perhatian para pembaca surat khabar yang memuatkan berita tersebut. Di samping itu, menurut C. Hepwood, Redaktur Cleveland Plain Dealer juga menyatakan berita adalah laporan utama dari kejadian yang dapat menarik perhatian umum (Dja’far H.Assegafi, 1983:23).

Antara pengertian lain, menurut Mitchel Carnley dari Universiti Minnesota Amerika Syarikat menyatakan bahawa berita adalah sejarah esok yang disusun hari ini dengan rapi dalam satu paket (Yanuar Abdullah, 1992:19). Selain itu, berita ialah sesuatu maklumat yang baru mengenai suatu peristiwa yang baru berlaku dan memberi kesan kepada pendengar serta menarik minat mereka (Paul De Maeseneer, 1986:15 terj. Mohd Safar Hashim).

Menurut Zulkiple Abd. Ghani (2001:9) di dalam buku “Islam. Komunikasi dan Teknologi Maklumat” menyatakan bahawa berita sememangnya bukanlah sesuatu yang asing dalam ajaran Islam. Al-Quran menggunakan perkataan naba’ lebih daripada 40 tempat yang merujuk kepada Allah yang menjadi sumber utama berita yang diwahyukan. Selain itu, terdapat perkataan khabir yang merujuk kepada item berita yang menegaskan perlunya dipastikan kesahihan berita dan juga sumbernya supaya masyarakat tidak ditimpa musibah dalam surah al-Hujurat ayat 6 :

Maksudnya
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan”.

Berdasarkan pelbagai pengertian yang diberikan, telah memaparkan beberapa ciri persamaan dan perbezaan yang tidak begitu ketara mengenai fakta-fakta berita yang hendak disampaikan kepada pembaca dan pendengar yang bergantung kepada situasi kejadian sama ada berita terkini atau yang lalu dalam menarik perhatian umum.

3.0 SUMBER BERITA

Di dalam buku “Inilah Berita, Manual Berita Radio” karangan Paul De Maeseneer (1986) terjemahan oleh Mohd Safar Hasim menyatakan bahawa berita tidak berlaku dalam bilik berita dan tidak semestinya berlaku dalam waktu pejabat. Beribu-ribu perkataan yang masuk ke bilik berita setiap hari dari berbagai-bagai sumber. Antaranya ialah
1. Sumber utama :
a. Pemberita: Mereka mesti keluar mencari berita, di mana saja ia boleh temui seperti di kementerian kerajaan dan bahagian, kumpulan masyarakat dan organisasi, berbagai-bagai persatuan, institusi swasta dan awam, kesatuan sekerja, perkhidmatan penting (air, pengangkutan, elektrik, hospital dan sebagainya), Polis, Bomba, Ambulans, Badan Sukan, pejabat penerangan, perkapalan, Parlimen, Mahkamah undang-undang dan sebagainya.
b. Agensi Berita: Agensi berita kebangsaan, agensi berita antarabangsa.

2. Sumber biasa yang lain.
a. Penerbitan: Akhbar, majalah dan risalah di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
b. Sidang akhbar, taklimat dan mesyuarat awam.
c. Pengawasan stesen radio dan televisyen lain sama ada di luar negeri atau di dalam negeri. Adalah mustahak mempunyai kemudahan pengawasan yang baik khususnya bagi negara yang sempadannya tidak terbuka ke laut atau yang terpencil yang mempunyai sedikit sumber beritanya. Sesetengah agensi dan stesen bergantung hampir sepenuhnya ke atas sumber luar negeri melalui pengawasan begini.
d. Hubungan peribadi dengan seberapa ramai orang yang mungkin. Ingat ada seramai 90 juta sumber berita yang berpotensi di Bangladesh, 35 juta di Burma, 700 juta di India, 150 juta di Indonesia, 90 juta di Pakistan, 50 juta di Filipina dan sebagainya. Jika memberi perhatian serius kepada tugas, masih banyak peluang yang boleh dibuat.

Perbincangan ini biasanya sering mendapat perhatian banyak pihak kerana ia mempunyai unsur-unsur provokatif. Provokasi memang penting dalam bidang kewartawanan kerana bertolak daripada situlah, berita-berita sensasi dapat dicipta dan biasanya boleh melariskan akhbar tetapi ia bukanlah segala-galanya kerana dalam kebanyakan hal, berita sensasi begini akan menyebabkan kewibawaan dipertikaikan dan kredibiliti akan dipersoalkan. Ia akan menafikan fungsi sebagai menyampaikan maklumat.

Justeru itu, dalam mendapatkan sumber berita dalam konteks agama, satu rencana yang bertajuk “Berita dan Kebenaran-2 Perkara Yang Berbeza” dalam Sasaran (Disember:1992) perlu diperhatikan dengan teliti :
Dari sudut mana kita melihat isu itu, bergantung pada proses dan persekitaran mana kita dididik, budaya mana yang kita hayati sekarang dan fahaman apa yang kita anuti.
(Mior Kamarul Shahid, 1992:10)

4.0 ETIKA KEWARTAWANAN

Dalam usaha mendapatkan sumber berita, kita perlu kepada seorang petugas yang melaksanakannya. Petugas yang dimaksudkan adalah wartawan. Institut Akhbar Malaysia (t.th.) ada menggariskan Etika Kewartawanan Malaysia yang menyatakan, individu yang dapat memenuhi keperluan tersebut dan bersedia memasuki profesion perguruan kewartawanan akan menghormati fasal-fasal berikut:
a. Tugas utama wartawan melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar.
b. Dalam melaksanakan tugasnya wartawan hendaklah menghayati kebebasan mencari dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
c. Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen.
d. Sebarang maklumat disiar yang didapati tidak benar dan tepat hendaklah diperbetulkan.
e. Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita.
f. Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa jua bentuk sekalipun.
g. Wartawan hendaklah menghindarkan siaran berita dan rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
h. Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

Namun begitu, sekiranya seorang wartawan yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan penyiaran, ia akan menjejaskan profesionalisme kewartawanan seperti apa yang dijelaskan dalam satu artikel dalam Utusan Melayu (24 Febuari 2009) yang bertajuk “ ‘Wartawan Segera’ Jejas Profesionalisme” merupakan hasil temu ramah dengan Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani menegaskan:
Mengenai peringkat wartawan, didapati mutakhir ini, antara yang semakin hilang terutama dari aspek etika kewartawanan adalah ekoran kemunculan media baru. Media baru didefinisikan sebagai media alternatif yang digabungkan teknologi satelit, penyiaran dan komputer. Dalam media baru, nampak sudah hilang profesionalisme. Ini ekoran munculnya ‘wartawan segera’ yang mendapat ‘nafas melalui blog dan media bentuk sosial seperti. Dari segi media literasi pula, pembaca perlu bijak menggunakan hak untuk tidak menyokong media ‘sampah’. Ini hak khalayak. Jika mereka turut serta, trend ini akan berkembang.
(Utusan Melayu, Febuari:2009)

Kewujudan ‘wartawan segera’ ini akan mengancam nilai berita yang diperoleh. Ini kerana naluri manusia yang inginkan sesuatu yang mencabar, menarik serta mempunyai unsur-unsur suspen dan mempunyai elemen-elemen kemanusiaan menjadi tunjang satu kejayaan. Dalam mengecap kejayaan dan sanjungan daripada khalayak pula, media secara perlahan-lahan menukar rentak dan secara tidak langsung mengorak langkah untuk menjadi money makers. Walaupun media sebegini menjadikan aktiviti sosial, ekonomi, politik, budaya dan nilai hidup masyarakat sebagai teras. Dalam Sasaran (Disember:1993) rencana yang bertajuk “Nilai Berita Terancam? Pertentangan Antara Wartawan Kamera Dan Wartawan Penyiaran” menegaskan:
Apabila nilai komersial dibawa ke dalam dunia kewartawanan adalah dikhuatiri nilai sebenar sesuatu berita itu akan pudar dan sebaliknya liputan berita akan hanya difokuskan di atas permukaan sahaja tanpa menyelami akan sesuatu kejadian itu dengan lebih mendalam.
(Abdul Razak Mohaideen, 1993:73)

Nilai komersial yang dimaksudkan di sini adalah bukan daripada sudut penerimaan dan penulisan sesuatu berita tetapi ia lebih kecenderungan untuk mengurangkan belanja daripada pihak media dan sebaliknya mendapatkan keuntungan yang lebih. Sudah tentu membicarakan mengenai konsep komersialisasi aspek mengurangkan belanja yang membawa makna untung yang lebih ditekankan.

5.0 PRINSIP-PRINSIP ASAS BERITA DALAM ISLAM

Dalam al-Quran ada menerangkan beberapa prinsip asas berita dalam Islam. Penjelasan mengenai prinsip-prinsip ini boleh kita melihat melalui satu rencana dalam Sasaran (Disember:1992) yang bertajuk “Akhbar Melayu di Malaysia Apa Masalahnya?” menegaskan :
Akhbar seharusnya berfungsi untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan budaya fitnah yang diamalkan oleh media barat.
(Wan Ismail Wan Jusoh, 1992:140)

Dalam rencana ini juga ada menjelaskan beberapa peranan akhbar menurut al-Quran yang boleh kita jadikan sebagai prinsip-prinsip asas berita dalam Islam. Rencana ini menjelaskan:

1. Sebagai Pendidik. Surah al-Luqman ayat 17:

Maksudnya:
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

2. Pendorong ke arah kebaikan dan pencegah kejahatan. Surah al-Imran ayat 104:

Maksudnya;
dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

3. Menyampai ilmu pengetahuan. Surah al-Luqman ayat 14:


Maksudnya;
dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua-dua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

4. Nilai-nilai akhlak. Surah an-Nur ayat 27:

Maksudnya;
Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu masuk ke Dalam mana-mana Rumah Yang bukan Rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan Yang sopan itu).

5. Pembawa berita gembira dan dukacita. Surah al-Ahqaaf ayat 33:

Maksudnya;
Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi Dengan tidak mengalami kesukaran Dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk Yang telah mati? sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
6. Penasihat dan pendamai orang yang bermusuh. Surah al-Hujurat ayat 9:

Maksudnya;
dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Antara prinsip lain yang boleh kita jadikan sebagai panduan adalah penapisan maklumat. Dalam Sasaran yang bertajuk “Fungsi dan Tanggungjawab Penapis Maklumat Dari Perspektif Islam” (Disember:1992) menegaskan:
Setiap agensi berita seperti akhbar, radio dan TV terdapat ramai penapis maklumat. Mereka ini memegang peranan yang berbagai-bagai-bagai dan lazimnya di tangan merekalah terletak ‘nasib’ sesebuah laporan ataupun berita itu, sama ada hendak diterima untuk siaran, menyiarkan sebahagian ataupun merombaknya semula sebelum disiarkan.
(Abdullah@Kassim Mohamad, 1992:24)

Hal ini berlaku kerana ada kalanya penapis maklumat akan melambat-lambatkan penyiaran sesebuah berita. Di samping itu, apa yang lebih menakjubkan tentang peranan penapis maklumat ini ialah mereka boleh menokok tambah terhadap fakta-fakta sebenar dengan tujuan untuk memberikan gambaran yang lebih dahsyat atau sebaliknya terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku. Keadaan ini terjadi apabila wujudnya sifat ‘bias’ dalam diri seseorang penyunting terhadap sesuatu peristiwa atau subjek yang dititikberatkan dalam sesebuah laporan.

Konsep penapisan maklumat dari perspektif Islam menjelaskan Islam menggalakkan penganutnya menyebar maklumat yang boleh membimbing seseorang itu ke jalan yang benar. Firman Allah (SWT) dalam surah al-Asr ayat 3:

Maksudnya;
kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Dalam ayat di atas, Allah telah mengingatkan kepada hambanya supaya ingat-mengingati di antara satu sama lain ke jalan yang membawa kepada kebaikan. Komunikasi adalah kegiatan yang penting bagi manusia. Sememangnya telah menjadi lumrah alam bahawa manusia perlu berinteraksi antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan nalurinya. Untuk itu manusia perlu kepada sumber-sumber maklumat untuk mereka ketahui apa yang di sekeliling hidup mereka.

Fungsi penapis maklumat terdapat tiga asas utama:
a. Penapis maklumat berkuasa mutlak untuk tidak menyiarkan sesebuah mesej.
b. Penapis maklumat boleh bertindak untuk meningkatkan tahap kepentingan sesebuah maklumat.
c. Penapis maklumat juga berupaya membuat sesebuah maklumat itu menjadi kurang penting.
Untuk lebih memahami fungsi penapis maklumat ini, cuba kita tinjau kaitan di antara penapis maklumat dengan berita. Di sesebuah agensi berita, penapis maklumat ialah penyunting berita (News Editor). Dalam satu hari terlalu banyak berita yang perlu disiarkan kepada khalayak melalui media massa. Namun begitu, tidak semua berita itu dapat disiarkan kerana ruangan akhbar yang terbatas ataupun masa siaran di studio terhad. Adalah menjadi tanggungjawab penyunting terhadap pemilihan hasil kerja para wartawan yang ditugaskan sebelum disiarkan. Dengan meletakan berita yang menarik di muka hadapan ataupun tajuk-tajuk yang menarik di halaman utama akhbar, ia akan memberi pengaruh yang besar kepada khalayak untuk menatap dan seterusnya memiliki akhbar atau majalah tersebut.

Mohd Nasran Mohamad (2009) ada menjelaskan ciri-ciri media dalam Islam yang boleh dijadikan juga sebagai prinsip-prinsip asas berita dalam Islam. Antaranya ialah (Hasan 1418H:68-75):
1. Peranan dan tanggungjawab.
Media massa mempunyai tanggungjawab yang khusus terhadap masyarakat Islam. Antara tanggungjawab yang patut dilakukan ialah menampilkan kepada mereka hakikat yang sebenar, berusaha untuk menyempurnakan keperibadian Islam dengan mengembangkan aspek pemikiran ilmu, sosial dan kematangan politik, menunaikan kewajipan mereka terhadap orang lain dan melindungi hak asasi serta kebebasan mereka dan meneguhkan keimanan mereka dengan penerapan nilai-nilai Islam dan prinsip akhlak yang mulia. Firman Allah (SWT) surah al-Shaffat ayat 24:

Maksudnya:
"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana Sesungguhnya mereka akan disoal:
2. Ikhlas
Seseorang penulis mestilah ikhlas di dalam penulisannya dan mencari keredaan Allah (SWT). Penulis yang tidak ikhlas menyebabkan dia mencari sesuatu kerana kepentingan peribadi, mencari keuntungan, kemasyhuran dan sebagainya.

3. Maklumat yang benar, jelas dan adil
Seseorang penulis mestilah menulis hanya perkara-perkara yang benar yang nantinya akan membawa para pembaca mengetahui dan memahami sesuatu isu atau polemik secara jelas dan adil. Penulis mestilah adil di dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Memaparkan kepada dunia imej sebenar tamadun Islam, peninggalan sejarah Islam dan sumbangannya kepada ilmu pengetahuan manusia. Media perlu menjelaskan peranan Islam dan mencirikan tamadun Barat di samping keunikan nilai rohani dan intelektual Islam yang prinsip-prinsip kebebasan, kemuliaan, harga diri, kesamarataan, tolenrasi dan kasih sayang. Firman Allah (SWT) surah al-Hujurat ayat 6:

Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

4. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran
Melalui media cetak, konsep amar amar makruf nahi mungkar boleh diterapkan. Para penulis berfungsi mendedahkan kemungkaran-kemungkaran yang berlaku, punca dan jalan penyelesaiannya menurut Islam di samping masyarakat secara benar dan jujur. Menggunakan pendekatan dan kaedah yang bijaksana dalam menjayakan proses komunikasi yang berkesan. Firman Allah (SWT) dalam surah al-Nahl ayat 25:

Maksudnya:
serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

Media Islam perlu mendorong masyarakat kepada kebaikan dan keburukan seumpama ungkapan perkataan lucah, bahasa pasar dan tidak bermaruah, menghina, menjatuhkan maruah, memberi gelaran buruk, mencerca peribadi seseorang, membuat tuduhan, memaki hamun, menghina dan sebagainya. Firman Allah (SWT) dalam surah al-Nisa’ ayat 135:

Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi Yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Media Islam tidak boleh menyiarkan berita-berita yang berniat buruk atau yang meragukan kesahihannya atau khabar-khabar angin yang mengelirukan, khasnya dalam masa peperangan (jihad). Sebaliknya ia hendaklah bersikap hati-hati, memastikan sumber sebenar dan kebenaran berita berkenaan. Ia hendaklah mengelakkan cara-cara yang tidak halal atau tidak sesuai untuk mendapatkan berita. Mana-mana berita yang tersiar, kemudian nyata ia tidak benar maka stesen penyiaran Islam hendaklah menafikannya serta membuat pembetulan, baik ia diminta berbuat demikian mahupun tidak.

5. Peka terhadap isu semasa dan permasalahan ummah
Sensitif kepada isu semasa adalah penting kepada seseorang penulis terutamanya negara sendiri. Penulis juga mesti prihatin terhadap apa yang menimpa umat Islam dan mempertahan isu-isu yang bersangkutan dengan kepentingan ummah. Isu-isu yang berlaku mesti dipaparkan kepada masyarakat secara benar dan jujur. Media mestilah menolak dasar aparthied, perbezaan kerana mazhab, semangat perkauman dan memberi kebebasan kepada setiap individu, penghormatan dan hak bangsa-bangsa untuk menentukan masa depan yang gemilang.

6.0 PROPAGANDA BARAT DALAM BERITA

Propaganda merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Latin iaitu propagare, satu istilah yang bermaksud proses penyemaian ranting untuk pemupukan tunas dan ranting yang lebih banyak. Dari situ, penggunaannya berkembang merangkumi maksud proses penyebaran idea, adicipta atau ideologi. Maksud ini asalnya tidak membawa sebarang siratan yang kurang baik. Malah, ia lebih condong kepada siratan yang baik (Mansor Ahmad Saman, 1995:75).

Terdapat banyak teknik propaganda yang sering digunakan dan dianggap berkesan. Kebanyakannya telah dan terus digunakan dengan berkesan baik dalam peperangan, perang saraf mahupun propaganda zaman aman. Ia digunakan dengan meluas dalam perang pencarian kuasa dan pengaruh seperti pilihan raya, pengaruh antarabangsa, pembentukan pendapat umum, perdagangan, diayah, dakwah, pengajaran, pendidikan. Malah ia sering digunakan dalam pemberitaan.

Mohamad Yusof Husain (1993) menyatakan hampir semua agensi-agensi berita nasional berlanggan daripada empat agensi utama berita dunia ‘The Big Four’ iaitu Reuters, AP, UPI dan AFP. Berita-berita antarabangsa yang disiarkan adalah mengenai politik, sukan, ekonomi, tindakan ketenteraan, kekacauan sosial, jenayah, nahas, malapetaka, ‘human interest’, hiburan, dan lain-lain. Berita-berita politik, tindakan ketenteraan dan ekonomi lazimnya dijadikan berita utama atau berita kedua di halaman depan. Apabila ia dijadikan berita utama ia lazimnya disertai dengan gambar. Berita-berita lain dijadikan berita utama atau kedua di halaman dalam. Berita ‘human interest’ lazimnya dijadikan penyelit sama ada di halaman depan atau dalam. Berita-berita politik dan ekonomi yang mempunyai implikasi kepada negara atau umat Islam juga dijadikan bahan dalam editioral.
Kesan dari ini sebahagian besar daripada berita-berita antarabangsa merupakan berita serantau. Akhbar-akhbar di Malaysia pula lebih banyak memberi liputan kepada berita-berita ASEAN. Bakinya adalah untuk berita-berita dari Amerika Syarikat, Eropah, Russia, Timur Tengah, kawasan-kawasan Kesatuan Soviet, Afrika dan Jepun. Berita-berita tentang Amerika Selatan sangat kurang mendapat tempat.

Berita antarabangsa dikumpulkan di seluruh dunia melalui wartawan-wartawan yang mampu memberi liputan peristiwa penyiaran melalui satelit, kabel, alat gelombang mikro, atau radio. Berita-berita tersebut kemudiannya dihantar kepada ibu pejabat agensi-agensi berita nasional, rangkaian, atau sindiket. Editor-editor di sana menentukan kepada bahagian mana di dunia yang berita-berita tersebut harus disebarkan. Berita-berita tersebut disiarkan dalam pelbagai bahasa dan dihantar kepada akhbar-akhbar perseorangan di samping stesen radio dan TV. Editor-editor di sana akan memastikan apakah berita yang akan disiarkan dalam ruangan berita atau dibuat melalui udara. Akhirnya pengguna-pengguna media berbuat keputusan apa-apa berita yang berfaedah, dan kemudian membacanya, mendengarnya, atau menontonnya (Al-Hester, 1997:30). (Sila lihat Lampiran A)

7.0 KESIMPULAN

Dari apa yang telah dijelaskan, komunikasi pada hari ini banyak didominasi oleh Barat. Akan tetapi, pada awal 1970-an era kebangkitan Islam ramai sarjana Muslim mula mengambil langkah merealisasikannya melalui pendekatan komunikasi yang berteraskan prinsip-prinsip Islam yang terkandung di dalam al-Quran. Umat Islam pada masa kini perlu meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh sarjana Muslim yang lepas bagi terus mengekalkan keunggulan dan keunikan tamadun Islam. Salah satu cara yang boleh dilaksanakan dengan memperkenalkan konsep berita dalam Islam dalam usaha mendidik manusia kepada kebenaran, adil, ikhlas dan menyeru kepada kebaikan dan keburukan.

Konsep yang diperjelaskan ini akan memberi impak yang besar dalam komunikasi kerana umat Islam sendiri mempunyai identiti dan kredibiliti yang tersendiri dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada khalayak. Umat Islam juga tidak akan bergantung lagi kepada sumber dari Barat yang banyak menekankan keuntungan dari sifat kemanusiaan dan sebab akibat yang akan diterima dari apa yang telah mereka lakukan. Dalam masa yang sama, umat Islam dapat menguasai teori-teori yang telah mereka perkenalkan, dianalisis dan dikaji dari perspektif Islam dan membina satu teori yang boleh diguna pakai kepada seluruh umat Islam dalam bidang komunikasi.


Read more!

About